BETONG, 4 Okt: Tumpuan perlu terus diberikan kepada usaha memperkasa fasiliti sekolah, hospital, klinik dan industri kecil dan sederhana (PKS) di luar bandar.
Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu berkata, peruntukan lebih besar diperlukan dalam Bajet 2025 bagi merealisasikan usaha tersebut.
Menurutnya, ia penting bagi memastikan keadaan sekolah, hospital dan klinik di luar bandar kondusif dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Saya amat berharap peruntukan kepada sekolah, hospital dan klinik daif di kawasan luar bandar akan diberi keutamaan oleh kerajaan dalam bajet kali ini.
“Ini amat penting bagi memastikan mutu perkhidmatan, prasarana dan peralatan yang digunakan dapat dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2023 dan Hari Kecemerlangan Akademik Semester 1 2024 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Betong pada Jumaat.
Richard menjelaskan, kerajaan juga perlu mengutamakan penyediaan peruntukan untuk aktiviti penyelenggaraan bagi mengelak sekolah, hospital dan klinik dikategorikan sebagai daif pada masa akan datang.
“Bagi sekolah, peruntukan penyelenggaraan amat penting, sekiranya tiada dana penyelenggaraan disediakan, sekolah akan menjadi daif.
“Jadikan kerajaan mesti memberi bajet yang lebih memastikan setiap kemudahan sentiasa berada dalam keadaan baik,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, pembangunan PKS berkaitan industri tani di luar bandar perlu diberi penekanan sewajarnya.-TVS