KUCHING, 3 Okt: Selepas sedekad berjuang dalam industri hiburan tanah air, Aina Abdul muncul dengan Imaji yang merupakan garapan diri yang cukup bermakna buat penyanyi bersuara lunak dan lantang itu.
Pelantun lagu Jangan Mati Rasa Itu menyifatkan Konsert Jelajah Sarawak dan album Imaji merupakan buah tangan teristimewa buat peminatnya selain sebuah cerminan penceritaan dalam menterjemahkan seribu satu rasa bagi kesemua lagu yang dimuatkan dalam album tersebut,
“Saya sebak dan berterima kasih kerana jarang orang bercakap mengenai perjuangan sedekad saya dalam industri seni ini, apabila bercakap tentang Aina Abdul, ia lebih kepada busana yang saya kenakan pada diri ini.
“Saya mahu berikan hati saya kepada peminat dan pendukung saya, dan inilah yang saya ingin tampilkan pada konsert itu kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Konsert Jelajah Imaji Sarawak di Kuching pada Jumaat.
Menerusi Imaji, Aina menampilkan bait-bait kata yang memberi gambaran jelas sehingga pendengar terbuai dan mampu turut sama bukan hanya merasa atau melihat malah mendengar luahan emosi sebenar yang ingin diungkapkan olehnya.
Konsert Imaji bakal berlangsung pada 14 Disember di Arena Gemilang, Detar Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Aina dijangka mendendangkan 20 lagu nukilannya termasuk Imaji, Sumpah, Semalam dan Sepi pada konsert tersebut.-TVS