KUCHING, 3 Okt: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima kunjungan hormat daripada Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Abdul Rahman di Astana Negeri Sarawak.
Menurut Mohammad, tujuan kunjungan tersebut adalah untuk memaklumkan perkembangan terkini berkenaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya di Sarawak.
“Selain itu, ini merupakan kunjungan pertama saya kepada Tun sejak mengambil alih jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera.
“Menerusi kunjungan ini, Tun telah memberikan pandangan beliau berkenaan dengan keadaan (ATM) di Sarawak yang memerlukan sokongan dan juga pembangunan,” katanya ditemui selepas kunjungan hormat tersebut.
Tambahnya, kunjungan hormat itu turut bertujuan untuk menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Wan Junaidi di atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan selamat hari lahir kepada Tun Wan Junaidi yang akan disambut beberapa hari lagi. – TVS