BRUNEI, 3 Okt: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) akan memperluas pengaruh perdagangan dan pelancongan Sarawak di negara jiran itu, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Penubuhan STATOB amat penting justeru itu beliau mahu pihak yang dieprtanggungiawabkan untuk menjaga STATOB harus melihat fungsi pejabat berkenaan dalam perspektif yang besar.
“Sebab itu saya melihat amat penting sekali pejabat ini didirikan dan mereka yang diamanahkan untuk menjaga pejabat ini perlu melihatnya dari perspektif yang besar. Bagaimana hendak mencantumkan, merapatkan lagi perhubungan rakyat, selain daripada itu, mereka yang terlibat dalam keusahawanan dan termasuk juga dalam industri industri perdagangan yang lain dan yang terakhir pejabat perhubungan.
“Kerana kita kadang-kadang memerlukan pejabat seperti ini untuk berhubung walaupun kita ada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi (High Commisioner) tapi High Commisioner itu di peringkat politik pusat. Kalau kita ada pejabat perhubungan di sini, yang menguruskan macam perkara-perkara seperti ini (pelancongan dan sebagainya) mudah untuk kita kalau ada apa-apa masalah mereka yang dari sini pun dah boleh menguruskan secara terus dengan kerajaan Brunei, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam di sini, hari ini.
Abdul Karim juga mengingatkan kedua-dua pihak harus memainkan peranan masing-masing untuk mempromosikan Brunei dan Sarawak melalui STATOB.
Jumlah warga Brunei yang datang melancong ke Sarawak katanya meningkat pada bulan Ogos 2024 iaitu 198, 331 orang berbanding tempoh yang sama tahun 2023 seramai 94,320 orang.
Menurutnya ia menunjukkan pertumbuhan jumlah kedatangan pelancong dari Brunei sebanyak lebih 110.27 peratus.
“Sedikit sebanyak peningkatan pelancongan ataupun pelancong-pelancong yang datang dari Brunei ke Sarawak sebabnya adalah ekosistem yang bagus, perjalanan jalan raya, dan selain daripada itu terdapatnya perkara-perkara yang menarik terutama sekali di tempat-tempat yang berdekatan dengan Brunei terutama sekali di Miri, di Limbang, di Lawas.
“Orang Brunei cuti sekolah, hujung minggu mereka kadang-kadangnya selain daripada berhibur dalam negara mereka sendiri mereka menyeberang sempadan dan di sinilah saya rasa sepatutnya bukannya one way sahaja kita perlu juga mempromosi Brunei dan pejabat ini boleh menjalankan peranan tersebut untuk membawa rakyat Sarawak kalau cuti sekolah, hujung minggu kalau sudah biasa pergi kuala lumpur, pergi indonesia, kenapa tidak pergi ke Brunei supaya sekurang-kurangnya merapatkan lagi pengetahuan kita tentang negara jiran kita yang terdekat,” ujarnya lagi. – TVS