BRUNEI, 3 Okt: Sarawak menerima kira-kira 1.3 juta pelancong dari negara Brunei Darussalam pada tahun 2023 sekali gus angka itu direkodkan sebagai jumlah tertinggi setakat ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
“Kita boleh meningkatkan lagi industri pelancongan kita melalui promosi bersama dan dengan menganjurkan acara perniagaan dan sukan, seperti pertandingan belayar atau perahu layar di Teluk Brunei atau maraton merentas sempadan dari Lawas ke Jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.
“Saya yakin STATOB akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan dan memperdalam perkongsian ekonomi strategik antara Brunei dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Sarawak kini sedang mempergiatkan pembangunan infrastruktur yang berintegrasi dengan rangkaian jalan raya Brunei, khususnya Northern Coastal Highway (NCH).
Jelasnya, laluan penting ini menghubungkan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) dan akhirnya menuju ke Ibu Kota Nusantara, Indonesia.
“Dengan menyepadukan rangkaian jalan raya ini, ia dapat memastikan akses ke lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut, serta meningkatkan tenaga dan sambungan telekomunikasi. Brunei dan Sarawak boleh bekerjasama secara berkesan untuk meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan,” ujarnya lagi.
Beliau turut membayangkan kerjasama dua hala dalam sektor tenaga, telekomunikasi, pelancongan, pertanian, perdagangan dan pelaburan.
Usahawan Sarawak terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka di pasaran yang lebih luas, termasuk Borneo dan rantau BIMP-EAGA, disokong oleh lokasi strategik Sarawak dan pelabuhan antarabangsa serta lapangan terbang sebagai pintu masuk. – TVS