BRUNEI, 3 Okt: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM6 bilion untuk membina Lebuh Raya Pesisir Utara yang akan menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas menerusi Brunei Darussalam.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam tahun untuk disiapkan.
“Kita sudah kenal pasti penjajarannya (alignment). Keduanya ialah untuk kita mulakan kerjanya yang dijangkakan mulai tahun depan di peringkat awal (preliminary). Ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam tahun baru siap.
“Kerana ia merupakan jalan raya berkembar (dual carriageway) dan tempatnya bergunung-ganang. Jalan tersebut akan dibina di sisi gunung, jadi jalan itu menaik (elevated) menuju ke kawasan Limbang dan Lawas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam di Bandar Seri Begawan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata untuk membina jalan tersebut Sarawak akan mengekalkan bentuk muka buminya yang bergunung-ganang dan ia tidak akan dipotong.
Beliau meyakini dengan ekosistem sedia ada, serta pemandangan semula jadi tersebut ia akan menarik pihak sektor swasta untuk melabur dalam sektor pelancongan.
“Dengan siapnya jalan ini, mungkin pihak sektor swasta akan melabur kerana kita berhadapan dengan Brunei Bay. Brunei Bay ini pemandangannya cantik, mungkin resort city akan kita bangunkan di kawasan di antara Limbang dan juga Lawas,” ujarnya lagi. – TVS