BRUNEI, 3 Okt: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak optimis sasaran empat juta pelancong ke Sarawak berjaya dicapai pada Oktober ini.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana pada Ogos yang lepas Sarawak mencatatkan jumlah kedatangan pelancong seramai 3.3 juta orang.
“Sasaran kita untuk pelancong yang datang adalah 4 juta. Insya-allah kita akan mencapai jumlah 4 juta pelancong itu pada bulan ini kerana pada bulan yang lepas, bulan Ogos kita sudah mencapai jumlah 3.3 juta dan termasuk bulan September.
“Saya percaya hampir kepada 4 juta kerana setiap bulan jumlah mereka yang datang masuk Sarawak adalah lebih kurang 400,000 lebih. Jadi pada bulan ini (Oktober), kita baru memasuki bulan Oktober sekarang, saya rasa dalam minggu pertama atau minggu kedua bulan Oktober kita akan mencapai ke jumlah sasaran kita iaitu 4 juta pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei Darussalam di sini, hari ini.
Terdahulu pembukaan STATOB disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pavo Point, Bandar Seri Begawan, di sini.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Kabinet Sarawak lain- TVS