KUALA LUMPUR, 3 Okt: Rakyat Malaysia yang berada di Asia Barat diminta supaya bersedia menghadapi kemungkinan berlaku gangguan jadual penerbangan, jelas Wisma Putra.
Mereka turut disarankan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap pelan perjalanan masing-masing.
Pada masa sama Wisma Putra turut meminta semua rakyat Malaysia yang berada di Iran dan Iraq segera mendaftar melalui E-Konsular susulan peningkatan ketegangan di rantau itu.
“Mereka yang belum berbuat demikian sangat digalakkan untuk mendaftar dengan segera.
“Wisma Putra juga menasihatkan agar rakyat Malaysia yang berada di sana untuk sentiasa berkomunikasi dengan pihak kedutaan masing-masing bagi mendapatkan sebarang maklumat terkini dan panduan yang diperlukan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Wisma Putra memaklumkam kedutaan Malaysia di kedua-dua negara berkenaan juga sedang giat berhubung dengan rakyat Malaysia di sana serta memberi jaminan akan terus memantau keadaan.
“Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia di Iraq boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad yang terletak di Mezzanine Floor, Babylon Rotana Hotel, Al Abassi Street, Al Jadria, Baghdad, Iraq, atau telefon di : +964 786 497 0086 dan +964 786 497 0087, atau e-mel : mwbaghdad@kln.gov.my.
“Bagi mereka yang berada di Iran, mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tehran di No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb, atau melalui panggilan telefon : +98 21 88072444 / +98 21 88078606 / +98 9121130144, serta e-mel : mwtehran@kln.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com,” kata kenyataan itu.
Ketegangan di Asia Barat kian memuncak apabila Israel melancarkan beberapa siri serangan udara terhadap Lubnan.
Situasi bertambah tegang apabila Iran turut menembak ratusan peluru berpandu ke arah Tel Aviv. -TVS.