LANGKAWI, 3 Okt: Seorang pekerja terkorban selepas terjatuh kira-kira 40 meter (m) ke lereng gunung dari dek kaca kawasan pelancongan Gunung Machincang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa Khairul Nizam Jaafar, 41, ditemui tidak sedarkan diri oleh pasukan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima laporan daripada penyelia operasi dek kaca itu mengenai seorang juruteknik lelaki yang terjatuh ke lereng gunung sebelum pasukan penyelamat bergegas ke lokasi.
“Mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter ke tebing gunung iaitu dari besi penahan dek kaca yang berada di bawah dek kaca.
“Cuaca sedikit hujan semasa operasi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, mangsa telah berjaya dibawa naik ke stesen tengah kereta kabel oleh pasukan bomba pada pukul 5.11 petang.
“Pengesahan kematian pekerja yang baru tiga bulan bertugas itu kemudiannya dibuat oleh pihak hospital.
“Mayat kemudiannya dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke unit forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – TVS