BUTTERWORTH, 3 Okt: Sebuah feri ikonik Pulau Pinang yang dihentikan operasi sejak Disember 2020 ‘berlayar’ semula buat kali terakhir hari ini untuk dipindahkan dari Bagan Dalam Slipway (BDS) di sini ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di George Town untuk dijadikan muzium feri terapung.
Feri ikonik berwarna kuning berusia 68 tahun itu ditunda dengan dua buah tongkang dari BDS bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum tiba di SPCT kira-kira pukul 2.15 petang.
Pelayaran feri terakhir sebelum BDS ditutup itu melalui Sungai Perai dan laut Selat Pulau Pinang sejauh kira-kira 6.5 kilometer.
Penang Ferry Museum berkata, feri berkenaan telah mencapai 70 peratus pengubahsuaian sebelum dijadikan muzium feri terapung pertama di Asia yang terletak di Tanjung City Marina.
“Feri itu pada asalnya separa tenggelam di Bagan Dalam pada 2021 dan sedang giat dibaik pulih untuk dijadikan muzium yang dijangka beroperasi hujung tahun ini.
“Feri ikonik ini sememangnya memainkan peranan penting dalam sejarah perkhidmatan feri Pulau Pinang,” kata agensi itu menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu, penduduk sekitar turut tidak melepaskan peluang menyaksikan detik penundaan feri tersebut dari tebing Sungai Perai di sini untuk melihat feri berlayar.
Seorang guru Georgrafi sekolah persendirian, Lim Moy Ghee berkata, beliau membawa seramai 30 anak murid tahun empat dan lima untuk memberi penerangan mengenai peristiwa yang dianggap penting itu.
“Ini satu hari bersejarah dan mungkin kita sudah tidak akan berpeluang lagi melihat feri kerana ia adalah yang terakhir melintasi di bawah jambatan pusing KTMB selepas penutupan BDS.
“Jadi, penting untuk generasi muda belajar dan mengetahui kepentingan dan sumbangan perkhidmatan ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Untuk rekod, perkhidmatan feri ikonik yang boleh membawa penumpang dan kenderaan empat roda telah dihentikan sejak 1 Januari 2021 bagi digantikan perkhidmatan feri baharu lebih moden dan bersaiz kecil.
Sebahagian feri-feri ikonik lain juga telah dilupuskan kerana faktor telah usang. – TVS
Feri ikonik Pulau Pinang tenggelam akibat tali pengikat putus