KUCHING, 3 Okt: Selepas beberapa tahun menyepi, penyanyi sensasi tanah air, Hafiz Suip bakal membuat penampilan sulung dalam Konsert Hafiz Suip – Perjalananku pada 13 Oktober ini di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC).
Kemunculan semula juara rancangan realiti Akademi Fantasia Musim Ketujuh (AF7) itu sudah pasti menjadi saat yang dinantikan oleh peminatnya di seluruh negara.
Penyanyi yang berasal dari Kuching itu juga pernah mengungguli anugerah vokal terbaik sebanyak tiga kali untuk Anugerah Juara Lagu (AJL).
Hafiz, 34, ketika ditemui berkata ia merupakan konsert pertamanya di Bumi Kenyalang selepas 15 tahun menempa nama dalam industri muzik tanah air.
“Sebenarnya konsert ini banyak menceritakan tentang hidup saya, perjalanan kerjaya saya dalam industri seni, harapan saya semoga semua akan terhibur dan dapat memahami apa yang saya cuba cerita dalam Konsert Hafiz Suip Perjalananku kelak,” katanya.
Bermula di AF7, Hafiz atau nama sebenarnya, Mohamad Hafiz Mohamad Suip berjaya menempah populariti dengan beberapa lagu hits seperti Awan Nano, Ku Akui dan Bahagiamu Deritaku.
Mengulas lanjut mengenai konsert itu, Hafiz akan mempersembahkan sebanyak 16 lagu termasuk termasuk karya rakan artis sebagai tanda apresiasinya.
Setakat ini katanya, persiapan berjalan lancar dengan kira-kira 90 peratus sedia dari segi fizikal dan mental.
“Alhamdulillah, semuanya lancar setakat ini dengan persediaan diri dari segi fizikal dan mental, antara lain termasuk penjualan tiket dan aspek teknikal.
“Insya-Allah, diharapkan pada 13 Oktober kelak konsert ini akan mendapat sambutan daripada semua peminat dan rakan media,” ujarnya.
Menurutnya tiket boleh didapati di laman web mcfevent.com dengan harga serendah RM88 sehingga RM488. – TVS