KUALA LUMPUR, 3 Okt: Bursa Malaysia berjaya pulih daripada penurunan sebelumnya untuk ditutup bercampur-campur pada Khamis apabila indeks utama mendapat sokongan daripada pembelian lewat dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui kaunter perkhidmatan kewangan.
Maybank dan Public Bank menerajui kenaikan, meningkat lapan sen dan empat sen masing-masing kepada RM10.54 dan RM4.57, menyumbang 2.94 mata kepada indeks petunjuk pasaran tempatan.
FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.24 mata, atau 0.14 peratus, untuk ditutup kepada 1,641.55.
Indeks utama itu dibuka tinggi naik 1.39 mata kepada 1,640.70 dan berlegar antara paras 1,630.45 dan 1,643.82 sepanjang sesi dagangan.
Bagaimanapun di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 504 berbanding 473, dengan 545 kaunter tidak berubah, 890 tidak diniagakan dan sembilan digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.29 bilion unit bernilai RM2.52 bilion daripada 3.86 bilion unit bernilai RM2.73 bilion pada Rabu.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata bursa tempatan, yang pada awalnya mendapat tekanan daripada ketegangan geopolitik di Timur Tengah, pulih semula apabila pelabur memburu saham berharga rendah.
“Aktiviti membeli saham berharga rendah dalam kaunter perbankan, perjudian dan tenaga membantu menaikkan FBM KLCI.
“Walaupun ketidaktentuan global, sentimen pasaran bertambah baik menjelang akhir sesi dagangan, yang membawa kepada minat belian baharu,” katanya.
Thong berkata, pasaran ekuiti tempatan dijangka terus diniagakan berhati-hati.
“Dengan penilaian pada harga rendah dan keadaan ekonomi yang bertambah baik, aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka berterusan.
“Kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,630 hingga 1,645 menjelang hujung minggu dengan paras rintangan serta-merta dijangkakan pada 1,670 dan paras sokongan pada 1,635,” katanya.
Mohd Sedek Jantan, ketua penyelidikan pelaburan di UOB Kay Hian Wealth Advisors berkata walaupun para pelabur mengalu-alukan pakej rangsangan terbaharu China, keberkesanan jangka panjangnya masih menjadi tanda tanya.
“Memandangkan hasil kurang memberangsangkan daripada langkah-langkah fiskal sebelum ini, kebimbangan terhadap kemampanan impak daripada (pakej rangsangan terkini) ke atas pasaran adalah wajar.
“Selain itu, dengan pasaran saham China ditutup berikutan cuti Golden Week pada minggu ini, respons terhadap pakej rangsangan terbaharu yang diumumkan pada hari Rabu itu hanya boleh dinilai pada minggu depan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, CIMB Group naik satu sen kepada RM7.99, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM5.77 manakala Tenaga Nasional susut 2.0 sen kepada RM14.28. IHH Healthcare dan Hong leong Bank tidak berubah, masing-masing pada RM7.24 dan RM21.30.
Dalam kalangan kaunter cergas, Talam Transform susut setengah sen kepada 2.0 sen, Capital A turun 2.5 sen kepada 91 sen, MYeG jatuh satu sen kepada 88 sen dan Focus Dynamics tidak berubah pada 2.5 sen. -TVS.