KUCHING, 2 Okt: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gedong-Simunjan, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, Irim Gintang, 56, terkorban apabila kereta dipandu anak lelakinya merempuh sebuah van yang diletakkan di tepi jalan.
“Kejadian itu menyebabkan seorang mangsa wanita tersepit di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan manakala pemandu seorang lelaki (anaknya) telah keluar sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan.
Bomba menerima panggilan pada 3 petang dan menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan ke lokasi.
Pasukan bomba menggunakan peralatan ’rescue tool’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.