BANGI, 2 Okt: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggesa universiti melahirkan graduan yang membudayakan kecemerlangan tanpa meminggirkan nilai kerohanian dan jiwa, kata Naib Canselor Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau berkata, setiap pelajar UKM akan melalui proses pendidikan holistik yang meliputi pembentukan otak dan watak yang membawa kepada pembangunan bakat masa hadapan yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berbudaya watan.
Prof Dr Mohd Ekhwan menjelaskan, UKM menaruh kepercayaan kemenjadian mahasiswa akan menghasilkan graduan bitara yang mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif.
“Pembentukan otak dan watak ini maksudnya mereka (pelajar) mempunyai tahap pemikiran yang baik dan pada masa sama, memiliki keperibadian cemerlang. Barulah akan lahir bakat berkualiti.
“Di UKM ini, kita semua percaya bahawa manfaat yang lebih besar akan diperoleh, sekiranya kita sentiasa memekarkan hati budi dengan nilai-nilai murni. Kejayaan akademik semata-mata tidak menjanjikan kehidupan yang bermakna,” katanya semasa menyampaikan amanat kepada pelajar baharu pada Majlis Amanat Naib Canselor di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Tegasnya, apabila pemikiran dan sahsiah cemerlang, proses pembelajaran di UKM akan menjadi lebih bermakna.
“Para pelajar akan lahir sebagai seorang graduan yang bukan sekadar bijak mengatur masa depan, tetapi juga menjadi khalifah dalam apa jua yang anda perjuangkan.
“Mereka akan menjadi duta dan pakar rujuk masyarakat sekeliling serta seorang pemimpin yang disegani. Inilah keberhasilan graduan yang kita perjuangkan,” tegasnya.
Untuk rekod, pada sesi akademik 2024/2025, UKM menerima 6,718 pelajar baharu daripada 86,364 permohonan bagi semua program pengajian. – TVS