KUCHING, 2 Okt: Pembangunan ekonomi yang pesat di Sarawak akan memberi nilai tambah dan impak positif secara keseluruhan kepada negara, demikian menurut Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan.
Katanya, apa sahaja inisiatif Kerajaan Sarawak termasuk Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) sudah semestinya akan memberi pulangan yang baik kepada ekonomi negara.
“Jika pulangan ekonomi tinggi kepada Sarawak, sudah pasti akan memberi nilai tambah kepada negara.
“Jadi kita amat mengalu-alukan hubungan baik antara Sarawak dengan mana-mana negara yang mempunyai kepentingan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Kunjungan Hormat Agensi-Agensi Persekutuan (Sektor Pembangunan dan Ekonomi) kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak pada Rabu.
Mengulas mengenai kunjungan tersebut, Nadzri memaklumkan tujuannya adalah untuk memperkenalkan barisan kepimpinan agensi-agensi persekutuan di samping mendengar amanat serta nasihat daripada Wan Junaidi.
Katanya, sebelum ini kunjungan hormat agensi-agensi persekutuan yang pertama melibatkan sektor keselamatan manakala kedua melibatkan sektor pembangunan dan ekonomi dan terakhir melibatkan sektor sosial. -TVS