BANGI, 2 Okt: Peluang untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijadikan sebagai platform terbaik oleh pelajar dari Sarawak, Wannie Jalip dan Jong Zhao Sing untuk mengubah taraf kehidupan keluarga mereka dengan impian membawa insan tersayang keluar daripada kepompong kemiskinan.
Membesar sebagai anak petani dan tinggal di kawasan pedalaman, kedua-dua mereka tidak menjadikan kesusahan keluarga sebagai penghalang untuk mencapai cita-cita dengan kini bergelar pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang kejuruteraan awam dan kejuruteraan perisian.
Bagi Wannie, 20, pengorbanan ibunya dalam mencari wang bagi membiayai yuran pendaftaran menjadi pembakar semangat untuk dirinya berusaha bersungguh-sungguh bagi meraih keputusan cemerlang di UKM.
“Ibu dan kakak saya menemani saya ketika mendaftar di UKM, mereka terpaksa tidur selama dua malam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA). Itu pengorbanan yang saya tidak dapat lupakan, selain kesusahan dalam mencari duit untuk membayar yuran pendaftaran.
“Saya memang bertekad mengubah taraf kehidupan keluarga saya, tiada orang lain yang boleh melakukannya kecuali diri saya sendiri. Untuk itu saya perlu belajar bersungguh-sungguh supaya mendapat pekerjaan yang baik,” katanya ketika ditemui TVS pada Majlis Amanat Naib Canselor, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak UKM di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi Jong, 19 pula berkata, pertolongan orang sekeliling yang membantunya melanjutkan pengajian menjadi penguat semangat kepadanya untuk menabur bakti semula selepas berjaya pada masa depan.
“Waktu saya dapat tawaran belajar, sudah tentu kerisauan ketiadaan duit untuk membayar yuran dengan ibu saya seorang ibu tunggal dengan bekerja sebagai petani dan perlu menanggung tiga orang anak.
“Tapi saya bernasib baik kerana ramai yang membantu saya seperti bapa dan ibu saudara serta orang kampung. Melihat kepada itu, janji saya adalah melakukan yang terbaik dalam pelajaran kerana saya terhutang budi dengan kebaikan mereka,” katanya.
Pada sesi akademik 2024/2024, UKM menerima kemasukan 6,718 pelajar baharu daripada 86,364 permohonan bagi semua program pengajian.
Daripada jumlah itu, seramai 109 pelajar berasal daripada Sarawak yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan. – TVS