KUALA LUMPUR, 2 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan satu pasukan petugas khas bebas berkuat kuasa hari ini bagi menyiasat insiden kes kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu Ogos lalu.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan petugas itu terdiri daripada lima ahli bebas bukan anggota KKM yang berpengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan dengan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah.
Menurutnya, pasukan petugas itu berperanan untuk melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian pakar patologi kimia di Lahad Datu secara khusus serta meneliti budaya kerja di hospital itu.
“Pasukan petugas juga akan mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus selain mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.
“Pasukan petugas turut menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, antara individu yang menganggotai pasukan itu termasuklah mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dato Dr. Azman Abu Bakar, pesara perkhidmatan awam dalam profesion pegawai kehakiman dan penasihat undang-undang, Datuk Mohamad Fazin Mahmud, Perunding Kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Datuk Prof. Ulung Dr. Looi Lai Meng dan Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Chan Lai Fong.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pasukan itu juga akan berperanan dalam memberi cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh penubuhan.
Dr Dzulkefly menegaskan, KKM komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.
“KKM yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga jabatan selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia MADANI, “ ujarnya.
Pada 29 Ogos lepas, seorang pakar patologi di Hospital Lahad Datu ditemui mati di kediamannya dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden buli di tempat kerja. – TVS