KUALA LUMPUR, 2 Okt: Malaysia perlu bersedia untuk mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan bidang undang-undang bagi meningkatkan kecekapan serta akses kepada keadilan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkenal Dasar Awan Negara.
Jelasnya, pendigitalan undang-undang menggalakkan ketepatan dan konsistensi dalam setiap keputusan melibatkan konstitusi, selain mengimbangi inovasi dengan kepercayaan awam.
“(Saya) 100 peratus bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenal Dasar Awan Negara, memandangkan kemajuan dalam teknologi terutama AI.
“AI dan pendigitalan akan meningkatkan pematuhan kawal selia, mencegah sentimen berat sebelah sambil memastikan ketelusan dan menampilkan penyesuaian lanjutan. Penerimaan AI adalah berbeza mengikut negara,” katanya di X.
Menurutnya lagi, AI dalam bidang undang-undang ialah teknologi kecerdasan buatan yang dibangunkan khusus untuk membantu pelbagai tugas dalam bidang tersebut.
Tugas-tugas terbabit termasuk penyelidikan undang-undang, semakan dokumen, analisis kontrak dan analisis kes.
“Teknologi AI undang-undang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam proses undang-undang, membolehkan profesional undang-undang mengurus sejumlah besar maklumat dan memperkemas aliran kerja,” katanya.
Penggunaan teknologi sedemikian juga akan membuahkan perbincangan tentang implikasi terhadap amalan undang-undang dan peranan penghakiman manusia dalam membuat keputusan undang-undang.
Terdahulu, beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Singapura yang tertumpu kepada isu-isu baru seperti perdagangan digital dan pertikaian berkaitan AI.
Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara Republik Singapura, Sundaresh Menon dan membincangkan perkara berkaitan undang-undang khususnya signifikan AI dalam aspek kehidupan. – TVS