KUALA LUMPUR, 2 Okt: Malaysia menggesa semua pihak untuk bertindak dengan segera mengurangkan ketegangan yang semakin memuncak berikutan serangan berterusan rejim zionis di rantau Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencerobohan Israel di Lubnan, Syria dan Yaman ialah percubaan yang disengajakan bagi mengalih tumpuan masyarakat dunia daripada genosid yang berlaku di Palestin.
Jelas beliau, peningkatan serangan itu jelas adalah untuk mengekalkan kepimpinan politik semasa Israel terus berkuasa sehingga mengorbankan nyawa rakyat yang tidak bersalah.
“Pencerobohan dan serangan berterusan oleh Israel di Lubnan, Syria dan Yaman adalah percubaan yang disengajakan untuk mengalihkan tumpuan masyarakat global daripada kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
“Malaysia menggesa semua pihak yang berkenaan mengambil tindakan segera untuk mengurangkan permusuhan dan mewujudkan syarat yang diperlukan untuk mengelakkan konflik serantau yang lebih luas daripada berlaku,” katanya di laman X.
Tegasnya, semua pihak perlu bertindak segera untuk menghalang serangan berterusan yang akan menarik lebih banyak pihak ke dalam konflik itu.
Pencerobohan itu juga katanya akan membawa membawa kepada ketidakstabilan rantau itu dan meluaskan skala kemusnahan. – TVS