BINTULU, 2 Okt: Seorang lelaki berusia 36 tahun diberkas polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan Parkcity di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, suspek telah disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan berat kasar rampasan dadah disyaki jenis syabu dianggarkan seberat 288.5 gram.
“Ujian saringan awal polis didapati suspek negatif dadah, hasil siasatan awal dipercayai dadah tersebut untuk pengedaran di sekitar kawasan Bandar Bintulu boleh digunakan seramai 550 hingga 580 orang penagih dadah.
“Jika sabit kesalahan memiliki dadah di bawah Seksyen 39B ADB 1952 boleh di penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tangkapan itu merupakan salah satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu ini.
“Kita menasihatkan orang ramai, jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini boleh memaklumkan kepada Bilik Gerakan PDRM, IPD Bintulu di talian 086-318304 atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bintulu,” ujarnya.-TVS