DARO, 2 Okt: Dua lagi projek infrastruktur jalan raya akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro.
Projek berkenaan ialah pembinaan baru Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kampung Pangtray dan naik taraf JPD di Kampung Tebaang (Fasa II) yang keseluruhannya bernilai RM706,000.00.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Safiee Ahmad berkata, projek Kampung Pantray yang menelan kos RM486,000 dijangka siap dalam tempoh 12 bulan manakala, Kampung Tebaang dengan kos RM220,000 pula lapan bulan.
“Kedua-dua projek ini amat penting. Ia merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan lebih selesa kepada penduduk di kedua-dua kawasan itu,” katanya pada Majlis Serah Tapak Projek JPD Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Hadir sama, Jurutera KKDW Sarawak, Fakhrur Rezuan Mahamad, wakil Pegawai Daerah Daro, Amirul Ain Mahadi, Penghulu Jebli Ngok, Ketua Kaum Kampung Pangtray, Shamsiah Saibi, Ketua Kaum Kampung Tebaang Hulu, Jaafar Rasdi, dan Kaunselor HamdenTaha.
Menurut Safiee, Kerajaan Sarawak komited menyediakan kawasan luar bandar dengan kemudahan jalan raya lebih sempurna demi kesejahteraan rakyat.
Malah ujarnya, projek itu juga berupaya meningkatkan aksesibiliti dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
“Dengan pelaksanaan projek ini, kerajaan berharap kualiti hidup penduduk bertambah baik sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi setempat,” katanya. – TVS