KUCHING, 2 Okt: Jalan McDougall di sini akan ditutup sementara bermula Khamis (3 Oktober).
Ketua Polis Daerah Kuching, Pemangku ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata penutupan bermula 8 pagi adalah bagi memberi laluan kerja-kerja pemasangan pentas utama sempena acara perbarisan dan rapat raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Laluan tersebut akan dibuka semula setelah selesai majlis perasmian pada 12 Oktober, katanya menerusi kenyataan, hari ini.
“Orang ramai yang melalui Jalan McDougall menghala ke Padang Merdeka dinasihatkan untuk membuat pusingan ‘u’ di hadapan Plaza Aurora,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan supaya tidak menggangu kelancaran lalu lintas.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900.