Jerusalem, 2 Okt: Pengawal Revolusi Iran berkata mereka telah menyasarkan “tiga pangkalan tentera” di sekitar hab komersial Israel di Tel Aviv.
Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi di platform media sosial X berkata “tindakan Tehran telah selesai melainkan rejim Israel memutuskan untuk mengundang tindakan balas selanjutnya”.
Pengawal Revolusi Iran sebelum ini berkata serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Israel terhadap pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah minggu lalu serta kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dalam insiden pengeboman di Tehran.
Tentera Israel mengumumkan selepas kira-kira sejam bahawa serangan itu telah tamat.
Pakar perubatan Israel melaporkan dua orang cedera ringan terkena serpihan.
Di Tebing Barat yang diduduki Israel, seorang rakyat Palestin terbunuh di Jericho “apabila kepingan roket jatuh dari langit dan mengenainya”, kata gabenor bandar itu Hussein Hamayel memberitahu AFP.
Ia adalah serangan langsung kedua Iran ke atas Israel selepas serangan peluru berpandu dan dron pada April sebagai tindak balas kepada serangan udara maut Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik.
Israel berikrar akan membuat Iran “membayar” serangan itu, yang menyaksikan 180 peluru berpandu ditembak ke wilayahnya, kebanyakannya dipintas, dan berjanji untuk segera menyerang “Timur Tengah dengan kuat”.
Sementara itu, Tehran mengancam untuk menyerang mana-mana tentera yang campur tangan di buminya bagi pihak Israel. – TVS