KUCHING, 1 Okt: Festival What About Kuching (WAK) 2024 kali ini disifatkan sebagai platform untuk mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya menerusi satu kenyataan hari ini acara bertemakan ‘By the Community, For the Community’ itu membuka tirainya hari ini dengan persembahan kebudayaan bertajuk ‘Call of the Tribes’.
Abdul Karim berkata persembahan berkenaan menampilkan pelbagai persembahan budaya yang menonjolkan kekayaan warisan pelbagai etnik Sarawak yang bertujuan untuk meraikan kepelbagaian tersebut dalam suasana penuh meriah.
“Persembahan ini akan mengetengahkan Tarian Naga Cina, Tarian Iban, Mukun Melayu, dan Upacara Pisien Bidayuh, semuanya mewakili komuniti etnik yang pelbagai di negeri ini,” menurut kenyataan itu.
Abdul Karim dalam pada itu menekankan kepentingan acara sedemikian yang menjadi simbol kebanggaan seluruh masyarakat dengan menonjolkan budaya masing-masing.
Sementara itu, Pengurus Festival WAK 2024 Brendan Chin mengakui acara tersebut menjadi cerminan semangat festival untuk mempromosikan perpaduan melalui seni dan budaya.
“Kami amat teruja untuk membawakan Call of the Tribes sebagai acara pembukaan WAK Festival 2024.
“Ini bukan sahaja persembahan, tetapi satu perhimpunan komuniti yang mencerminkan semangat kesepaduan dan kebersamaan,” tambahnya melalui kenyataan itu.
Untuk rekod, acara ‘Call of the Tribes’ terbabit dijangka menyajikan penonton dengan pelbagai persembahan yang menarik, daripada bunyi dentuman dram Tarian Naga Cina yang bertenaga hingga irama pantun dalam Mukun Melayu serta keanggunan upacara Pisien Bidayuh.
WAK Festival 2024 kali ini bakal menghidangkan lebih 60 acara unik, termasuk 233 acara harian yang melibatkan pelbagai disiplin seni dan kreativiti yang diadakan di 38 lokasi berbeza di sekitar Kuching.
Untuk maklumat lanjut mengenai WAK Festival 2024 dan jadual acara, sila layari www.aboutkuching.com. – TVS