LUNDU, 1 Okt: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui unit yang sedang melaksanakan operasi di bawah formasi Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) telah berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan barang di Sektor Pos GABMA Biawak di sini, dalam Op Awas/ Keris Parang, petang semalam.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, rampasan dilakukan berdekatan laluan haram 200 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia pada jam 6 petang.
“Anggota TDM dan TNI-AD sedang melaksanakan SERKAP di Kawasan Tanggungjawab (KTJ) GABMA Biawak. Semasa melaksanakan rondaan di kawasan tersebut, seksyen telah menjumpai satu longgokan barang yang ditutup dengan kanvas berwarna biru yang ditinggalkan di luar rumah kosong.
“Barang yang ditemui adalah 170 paket minyak masak jenama Crown, 120 paket gula jenama CSR dan 10 kampit beras tempatan jenama Bao-Bao,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan juga, mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai di sekitar kawasan tersebut dengan kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM1,201.
“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak Kastam Stesen Lundu untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia-Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” katanya.-TVS