KUALA LUMPUR, 1 Okt: Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan tersebut adalah usaha yang dilaksanakan dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam seiring dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
Jelas beliau, langkah itu juga adalah bagi memperkukuh JAKIM sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di negara ini.
“Pelantikan ini adalah bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia.
“Semoga dengan pelantikan ini dapat memacu JAKIM ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan JAKIM sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di persada global,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, Sirajuddin berpengalaman dalam industri halal melalui lantikan sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan Setiausaha Pertama (Halal), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga telah melantik Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal.
Menurutnya, ini akan melibatkan koordinasi antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MARTRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024. -TVS