KUCHING, 1 Okt: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan Perhimpunan Agung Ke-16 pada hujung Januari atau awal Februari 2025.
Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tema perhimpunan kali ini adalah ‘PBB Tonggak Kestabilan, Kemajuan dan Kelestarian’.
“Pada masa sekarang mesyuarat ranting-ranting di seluruh 82 cawangan PBB sedang berjalan. Setakat ini hanya sebuah cawangan yang sudah menyempurnakan mesyuarat cawangan.
“Masih ada 81 cawangan lagi yang kita harap selesai mesyuarat agung di peringkat cawangan dalam Disember,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Sidang media itu diadakan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dipengerusikan Presiden PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata lagi, 82 cawangan itu akan dibahagikan kepada empat zon bagi memudahkan menyelaraskan mesyuarat.
Zon Selatan akan diselaraskan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof, Zon Betong oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Zon Tengah (Dato Sri Alexander Nanta Linggi) dan Zon Utara (Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan).
Menurutnya lagi, perhimpunan agung tahun depan merupakan sesi pemilihan untuk penggal jawatankuasa parti seterusnya.
Ditanya mengenai akan wujud pertandingan bagi jawatan-jawatan dalam parti, beliau berkata ia bergantung dengan pencalonan.