KUCHING, 1 Okt: Bilangan murid Bumiputera yang mendaftar di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua di Sarawak meningkat sehingga 38 peratus daripada keseluruhan 60,000 orang pada tahun lepas.
Presiden Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Dato Jonathan Chai Voon Tok berkata, angka ke arah positif itu melebihi purata kebangsaan bagi murid yang mendaftar di SJK Chung Hua iaitu hanya 20 peratus.
“Oleh itu, SJK Chung Hua bukan lagi sekolah Cina semata-mata dan mereka lebih seperti sekolah komuniti yang menyediakan pendidikan untuk pelajar semua kaum.
“Sehubungan itu, SJK Chung Hua boleh dilihat sebagai ‘melting pot’ untuk pelajar pelbagai latar belakang etnik dan agama, selain menjadi platform penting untuk memelihara dan menegakkan perpaduan serta keharmonian kaum, sesuatu yang tidak boleh kita ambil mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan sambutan ulang tahun berkenaan disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Tambah Jonathan, pihaknya turut melaksanakan usaha bagi membantu murid-murid Bumiputera dalam mengatasi masalah dan cabaran mempelajari bahasa Mandarin.
“Kami telah menjalankan projek penyelidikan dan kajian lapangan untuk mencari strategi daya tindak terhadap murid Bumiputera dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun lepas dan kami akan melaksanakan beberapa cadangan seperti yang dicadangkan,” ujarnya. – TVS