KUALA LUMPUR, 1 Okt: Pelajar wanita membentuk kira – kira 71 peratus daripada keseluruhan mahasiswa baharu yang mendaftar bagi sesi akademik 2024/2025 di Universiti Utara Malaysia (UUM).
UUM berkata, mereka menerima kemasukan seramai 4,195 pelajar baharu dengan 2,977 merupakan pelajar wanita.
Kesemua mereka termasuk 134 pelajar antarabangsa akan mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda.
“Daripada jumlah itu, 4,061 orang merupakan pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Diploma, Matrikulasi, Asasi Pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” jelas universiti berkenaan menerusi kenyataan media hari ini.
Bagi pelajar antarabangsa pula, seramai 64 orang berasal dari Indonesia, 12 (China) dan seorang Bangladesh.
Sementara itu, seramai 59 pelajar berasal dari Sarawak turut mendaftar hari ini dengan sembilan mengikuti kursus Pengurusan Perniagaan manakala lapan lagi mendaftar di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan.
“Masing – masing enam mendaftar kursus undang – undang, perakaunan, teknologi dan logistik dan pendidikan,” jelas UUM.
Sementara itu, seramai 251 pelajar baharu daripada latar belakang keluarga B40 dan anak sulung.
“Seramai 185 pelajar dalam kategori keluarga miskin dan daif telah diberikan tunai RM500 seorang. UUM membelanjakan sebanyak RM92,500.
“Seramai 115 pelajar diberikan kotak makanan bernilai RM100 seorang dengan perbelanjaan RM11,500. Jumlah keseluruhan bantuan awal ini ialah sebanyak RM104,000,” tambah UUM. -TVS.