KUALA LUMPUR, 1 Okt: Impian peminat bola sepak tanah air untuk melihat pemain kelab Go Ahead Eagles dari Belanda, Mats Deijl untuk mewakili Malaysia tidak kesampaian susulan tidak melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, berdasarkan dokumentasi yang telah dilampirkan, pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek seperti yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
Sebelum ini, pemain di posisi pertahanan itu telah menunjukkan minatnya untuk mewakili pasukan kebangsaan dengan FAM telah dimaklumkan Deijl mempunyai darah keturunan Malaysia.
“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.
“Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain ini, FAM pada 23 September 2024 telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan mengenai status pemain ini.
“Badan bola sepak dunia itu melalui surat bertarikh 25 September 2024 telah memaklumkan bahawa dia tidak melepasi syarat,” kata FAM dalam satu kenyataan hari ini.
FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain itu atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkanuntuk mewakili pasukan kebangsaan, namun malangnya ia tidak dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, FAM berkata, organisasi itu sudah berhubung dengan beberapa pemain lain sepertimana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada hasil positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA. – TVS