BARAM, 1 Okt: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika keluar berburu bersama dua lagi rakannya di seberang Kampung Long Laput kawasan Sungai Meterek di sini, selepas gagal balik ke rumah sejak Jumaat lalu.
Difahamkan mangsa, Michael Asun Atang, 40, bersama dua orang rakan keluar berburu pada jam 1 tengah hari, dua rakannya telah balik ke kampung, manakala mangsa masih belum pulang sehingga laporan polis dibuat keluarga pada Ahad.
Komander Operasi, Ramzai Talip berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.03 malam Ahad dengan menggerakkan tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi ke lokasi kejadian.
“Usaha mencari mangsa oleh penduduk kampung pada Ahad hanya menjumpai baju celoreng askar warna hijau tergantung di pokok sawit.
“Jarak kampung dengan lokasi mangsa memburu lebih kurang 1 jam 30 minit dengan berjalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dimulakan pada semalam dengan menaiki perahu ke seberang dan menggunakan jalan darat berjalan kaki ke lokasi kejadian mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit.
“Keluasan pencarian mangsa adalah lebih kurang lapan kilometer dari lokasi terakhir mangsa dan rakan mangsa berkumpul.
“Kesukaran semasa operasi ialah laluan perjalanan ke Long Luput agak jauh ke tempat kejadian, menggunakan jalan balak ke kampung Long Laput dengan laluan banyak jalan yang licin selepas hujan, selain tiada liputan komunikasi,” ujarnya.-TVS