Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tidak menyangka gambar guni yang diambil oleh senior bagi mengurus kemasukan kolej kediaman akan menjadi tular. Fadhlina Sidek (FB)

Guna guni masa daftar UMS, pelajar jelaskan elak barang tercicir

ByBernama

KOTA KINABALU, 1 Okt: Perjalanan hampir tujuh jam dari Sandakan ke Kota Kinabalu membuatkan Rafida Zaiddin, 19, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) memutuskan untuk menggunakan guni sebagai alternatif bagi mengelakkan barangannya tercicir, tanpa menyangka tindakan itu tular di media sosial baru-baru ini.

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu berkata barang yang dibawa agak banyak yang menyukarkan pergerakan menyebabkan bapanya mengambil guni di dapur lalu memasukkan separuh barangan tersebut ke dalamnya.

Rafida berkata syarat kemasukan yang mengehadkan hanya dua beg sahaja boleh dibawa sewaktu mendaftar kolej kediaman turut menjadi sebab mengapa dia menggunakan guni untuk membawa baldi, bantal dan selimut.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu cerita saya menggunakan guni bagi membawa barang tular di media sosial, petugas UMS kemudian ada bertemu saya untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara itu.

“Mulanya saya ingin membawa enam beg tetapi hanya dua saja yang dibenarkan jadi saya mengambil inisiatif memasukkan separuh barang saya ke dalam guni itu bagi menjimatkan ruang,” katanya di sini hari ini.

Rafida yang merupakan antara 4,450 pelajar baharu UMS pada sesi ini ditemui pemberita pada Majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baru sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2024/2025 Kali ke-30 di Dewan Canselor, UMS yang disempurnakan Datuk Seri Hajiji Noor hari ini.

Anak bongsu daripada dua beradik itu tidak menyangka gambar guni yang diambil oleh senior bagi mengurus kemasukan kolej kediaman akan menjadi tular.

Bagaimanapun, dia tetap terharu dan bersyukur dengan keprihatinan yang diberikan serta ingin menjadikan perkara ini sebagai motivasi dalam meneruskan pengajian bagi membantu kedua orang tuanya yang bekerja sebagai peniaga buah dan suri rumah di Kampung Sim-Sim, Sandakan.

Pelajar cemerlang dengan memperoleh 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekas penuntut Kolej Matrikulasi Labuan itu juga bersyukur dapat menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan yang diminatinya.

“Saya bercita-cita menjadi akauntan dan berharap dapat membalas balik jasa kedua ibu bapa yang banyak berkorban menghantar saya belajar hingga ke peringkat ini,” katanya.

Susulan video yang tular itu, Rafida mengakui telah menerima  panggilan video daripada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek baru-baru ini selain turut diberikan duit belanja RM3,000 dan menerima panggilan daripada pihak lain mengenai proses biasiswa Kerajaan Sabah yang akan dipercepatkan dalam masa terdekat.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan