Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Belanjawan 2025 dijangka menyaksikan peningkatan peruntukan yang ketara, didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan hasil kerajaan yang meningkat. Foto hiasan Envato

Belanjawan 2025 dijangka catat peningkatan peruntukan didorong pertumbuhan ekonomi kukuh – Ahli ekonomi

ByBernama

PUTRAJAYA, 1 Okt: Belanjawan 2025 dijangka menyaksikan peningkatan peruntukan yang ketara, didorong oleh pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan hasil kerajaan yang meningkat, kata Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Profesor Dr Yeah Kim Leng.

Beliau berkata dengan setiap peningkatan satu peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hasil kerajaan akan meningkat sebanyak 0.94 mata, membolehkan pelaburan yang lebih besar dalam sektor utama seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebajikan sosial, terutamanya bagi kumpulan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

“Pertumbuhan KDNK Malaysia pada 2024 dijangka sekitar empat hingga lima peratus, mengekalkan kadar pertumbuhan ini penting untuk kami menjana pendapatan tambahan untuk menyokong perbelanjaan sosial kerajaan yang meningkat,” katanya kepada Bernama.

Yeah berkata Malaysia mendapat manfaat daripada keadaan ekonomi yang menggalakkan dengan pertumbuhan KDNK menjadi asas kepada keupayaan kerajaan untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan taraf hidup B40 dan kumpulan rentan lain.

“Ekonomi Malaysia berada pada momentum meningkat dan dengan pertumbuhan ini, kerajaan mampu meningkatkan perbelanjaan sosialnya.

“Ini perlu untuk menangani kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhannya, terutamanya untuk 60 peratus terendah daripada jumlah penduduk,” katanya.

Beliau berkata komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan keterangkuman sosial sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang menekankan pertumbuhan mampan dan pengagihan kekayaan yang saksama.

Selain menaikkan gaji, Yeah menekankan kepentingan meningkatkan keupayaan kumpulan berpendapatan rendah dengan memastikan akses kepada kesejahteraan hidup dan peluang yang lebih baik. Sektor swasta telah digesa mempercepatkan pertumbuhan gaji, terutamanya untuk belia B40.

 

Dasar monetari dan prestasi ringgit

Dari segi monetari, Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kini sebanyak 3.00 peratus selepas beberapa pelarasan dibuat oleh Bank Negara Malaysia untuk mengekang tekanan inflasi dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Inflasi, yang telah menjadi kebimbangan pada awal tahun ini, sederhana kepada 1.9 peratus pada Ogos disebabkan campur tangan kerajaan dan harga komoditi yang stabil.

Yeah berpendapat inflasi dijangka kekal terurus menjelang 2025, yang akan membantu mengekalkan perbelanjaan pengguna dan momentum ekonomi.

Mengenai ringgit, beliau menekankan prestasi kukuh mata wang tempatan itu, yang kini adalah antara mata wang berprestasi terbaik di rantau ini. Ringgit ditutup kepada 4.1210/1260 berbanding dolar AS semalam, iaitu paras tertinggi baharu dalam tempoh 39 bulan.

“Ringgit telah disokong oleh perbezaan kadar faedah dan kemampuan Malaysia untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), terutamanya daripada syarikat teknologi global yang menubuhkan pusat data serantau di negara ini.

“Kami menjangka ringgit terus mengukuh dan menjelang akhir tahun ini, ia boleh berada antara RM4.00 dan RM4.20 berbanding dolar AS. Menjelang akhir 2025, kita boleh menyaksikan ia meningkat kepada RM3.50-RM3.80, terutamanya jika kadar faedah AS (terus) menyusut,” katanya.

Yeah berkata keupayaan Malaysia untuk menarik FDI “ikonik” dan reputasinya sebagai hab data bagi Asia Tenggara telah meningkatkan keyakinan pelabur, justeru mengukuhkan lagi mata wang itu.

“Jika kita terus melaksanakan perancangan dengan kestabilan dan kejelasan dasar, kita dapat menjangka trend ini berterusan,” katanya.

 

Memastikan perbelanjaan cekap dan tadbir urus baik

Ahli ekonomi itu turut menekankan mengenai kepentingan tadbir urus yang baik dalam memastikan peningkatan hasil kerajaan dibelanjakan dengan bijak.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani ketirisan itu dan menambah baik proses perolehan.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan dalam program sosial amat penting untuk sampai kepada penerima yang disasarkan, terutamanya golongan kurang berkemampuan. Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan malah membina keyakinan terhadap program kerajaan,” katanya.

Menurutnya, penekanan terhadap tadbir urus dan mengurangkan ketidakcekapan dalam perbelanjaan adalah penting untuk memaksimumkan manfaat peningkatan hasil daripada pertumbuhan ekonomi.

“Dengan perlindungan yang sewajarnya, kita dapat memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi diagihkan secara adil dan menyumbang kepada kestabilan dan perpaduan sosial dalam jangka panjang,” katanya.

 

Keyakinan dasar dan kestabilan ekonomi

Memandangkan Malaysia hampir mencapai pelaksanaan penuh RMK-13, Yeah menekankan mengenai kepentingan pelaksanaan dan kekonsistenan dasar.

Beliau berkata kestabilan ekonomi dan politik akan kekal penting untuk menyokong kemajuan ekonomi negara.

“Keyakinan dasar amat penting kepada pelabur dan ini jelas kerajaan komited untuk memastikan aspek ini. Pada masa ini, tumpuan perlu diberikan kepada pelaksanaan,” katanya.

Menerusi ekonomi yang lebih kukuh, keteguhan mata wang dan peningkatan hasil kerajaan, Belanjawan 2025 akan menjadi detik penting untuk pertumbuhan berterusan dan pembangunan sosial Malaysia, yang menyediakan platform untuk masa depan yang lebih adil dan makmur.

Belanjawan 2024 merupakan rang undang-undang perbekalan terbesar dibentangkan oleh kerajaan berjumlah RM393.8 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM303.8 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus manakala RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Belanjawan 2025, belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan