KUCHING, 1 Okt: Anggota perkhidmatan awam Sarawak harus bergerak sama pantas sejajar dengan matlamat dan visi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kabinetnya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki yang dipetik menerusi laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata tindakan pantas amat penting supaya pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) siap mengikut jadual.
“Apa yang paling penting adalah kita perlu bersatu hati, dan sekiranya ada isu yang hendak dikongsikan bersama atau secara peribadi kepada saya, silakan berbuat demikian.
“Kita mesti dilihat relevan. Memasuki RMK13 nanti, kita sudah bersedia dengan perkara-perkara baru yang boleh kita lakukan. Sebab itu kita perlu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program One Team Retreat (OTR) 2024 bertemakan ‘Project Management’ di sebuah hotel terkemuka di Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.
Dalam ucapan sama, Abu Bakar turut menekankan mengenai isu beberapa projek yang masih belum dilaksana mengikut jadual sambil menambah bahawa halangan itu mesti diperbaiki demi kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah kepada ketua jabatan yang telah menyiapkan projek mereka tepat pada masanya.
“Projek untuk rakyat, seperti jalan raya dan jambatan antara lain, adalah sangat penting kerana ia akan membantu meningkatkan taraf hidup kita.
“Adalah penting untuk semua projek dipantau dengan ketat oleh jabatan dan agensi terbabit bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya.