KUCHING, 30 Sept: Tindakan pantas pemilik berjaya menyelamatkan bangunan kedai dua tingkat miliknya yang dijadikan bilik sewa di Jalan Padungan di sini, musnah terbakar malam tadi.
Komander Operasi, Mohd Nurfaiz Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.38 malam dengan menggerakkan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran bilik berjaya dipadam oleh pemilik dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering. Pihak bomba melakukan kerja-kerja overhaul dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula pada peringkat awal dan satu aliran dua ratus kaki satu pancutan.
“Kebakaran melibatkan bangunan kedai dua tingkat,yang dijadikan bilik sewa.Kebakaran berlaku di tingkat satu yang melibatkan dua buah bilik daripada enam buah bilik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 20 peratus manakala sebuah bilik yang terbakar penuh adalah 100 peratus manakala sebuah bilik hanya terjejas lima peratus.
“Pasukan bomba membuat pemadaman sehingga selesai sepenuhnya dan berangkat balik ke balai setelah mendapati keadaan selamat,” ujarnya. – TVS