KUCHING, 30 Sept: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) kini rancak merangka dan melaksanakan program pembangunan infrastruktur pintar bernilai lebih RM70 juta di Perkampungan Digital TEGAS di sini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar (MUDeNR) merangkap Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata, pembinaan infrastruktur itu kelak akan melengkapkan lagi rencana TEGAS untuk menjadi sebuah entiti pintar setanding Lembah Silikon di Amerika Syarikat.
“Kita akan memulakan fasa kedua pembangunan perkampungan digital TEGAS ini dan buat masa ini kita telah majukan permohonan kepada Unit Perancang Negeri (SPA) bagi mendapatkan kelulusan.
“Dari segi prinsipnya, Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) pada tahun lalu bersetuju untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur pintar di tanah seluas 15 ekar ini dan membangunkan pintar seperti gim digital, spa dan sebagainya bagi memudahkan pelawat seperti nomad digital untuk bekerja serta beriadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Think and Thinker Mini Lab Battlefield di TEGAS Digital Village, di sini pada Isnin.
Terdahulu Len menyampaikan hadiah kepada pemenang Think and Thinker (T&T) Mini Lab Battlefield yang disertai lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah dari 11 sekolah di seluruh Sarawak yang diadakan secara berperingkat bermula Mac lalu.
Lima pasukan terbaik berentap pada peringkat akhir yang diadakan di Perkampungan Digital TEGAS sejak 27 September lalu.
Tambah Len, program tersebut merupakan salah satu wadah untuk mengubah, mendedah dan mempengaruhi pemikiran individu terutama golongan muda dengan inovasi serta teknologi terkini termasuk Microbit, Cetakan Tiga Dimensi (3D Printing), Mbot Robotics, pemprograman dron dan Kemahiran Berfikir Secara Inovatif serta Teknik Pembentangan Projek Berkesan.
Len turut berhasrat memperluaskan program tersebut ke seluruh Sarawak di kawasan luar bandar bagi mengurangkan jurang selain menyediakan ruang kepada pelajar menjana idea, merangka secara konseptual dan seterusnya merealisasikan idea inovasi menjadi realiti.
“Kita dapat merapatkan jurang perbezaan, walaupun 11 sekolah, tapi melihat daripada respons daripada guru, ibu bapa dan pelajar, insya-Allah kita akan perluaskan lagi kem ini kepada lebih 400 sekolah terutama di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Pada pusingan akhir, peserta diberi tugasan akhir untuk membina dan menyelesaikan satu mekanisme robotik (robotic arm) yang beroperasi seperti teknologi yang digunakan di kilang-kilang.
Kumpulan Phoenix Taro dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mendamit, Limbang dinobatkan sebagai Juara T&T Mini Lab Battlefield sekali gus membawa pulang komputer riba bernilai RM5,000 setiap seorang dan sijil penyertaan.
Naib johan disandang Kumpulan Balai Ringin Inventor dari SMK Balai Ringin, sementara Kumpulan Swarm Patrol dari SMK Siburan meraih tempat ketiga.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah berupa tablet pintar bernilai RM3,000 setiap seorang dan telefon pintar RM2,000 serta sijil penghargaan.-TVS