LIMBANG, 30 Sept: Kerajaan Sarawak tidak pernah meminggirkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) sebaliknya dibantu dengan pelbagai inisiatif sebagai menghargai peranan dan sumbangan sekolah tersebut di wilayah ini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, inisiatif Kementerian Pendidika, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak menambah bilangan guru berkhidmat di wilayah ini turut memberi manfaat kepada SJKC yang turut berdepan masalah kekurangan tenaga pengajar.
“Pendidikan sangat penting dan kerajaan turut membantu SJKC. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi kuasa kepada Kementerian Pendidika, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak untuk menambah guru bagi mengisi kekosongan yang ada.
“Saya percaya SJKC Yuk Hin turut menerima pertambahan guru untuk mengajar murid yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-16 dan Pesta Tanglung SJKC Yuk Hin malam tadi.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menjelaskan, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat wilayah ini.
“Daerah Limbang juga tidak dipinggirkan, pelbagai projek pembangunan dilaksanakan untuk memajukan daerah ini.
“Ia termasuk pembinaan Tebingan Sungai Limbang, jambatan, jalan raya dan pelbagai projek pembangunan lain,” ujarnya.-TVS