Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sektor kesihatan di wilayah ini harus seiring membangun dengan kemajuan yang dikecapi Sarawak yang mengadaptasi ekonomi dan industri hijau sebagai sumber pendapatan baharunya. Foto hiasan Envato

SIRI AKHIR: Jasad penderma organ dikembali sempurna

ByFarah Diyana Samsuddin

Daftar derma organ tanpa sangsi

Menyimpan hasrat ingin terus berbakti kepada masyarakat merupakan kata putus bagi usahawan muda, Virenjit Singh, 30, memutuskan untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ.

“Sebelum ini saya pernah mendaftar secara manual dengan mengisi borang dan menurunkan tanda tangan.

Virenjit Singh

“Tetapi saya tidak memiliki rekod mengenainya sehingga kini. Oleh itu apabila saya mengetahui pendaftaran secara digital iaitu menerusi aplikasi MySejahtera sahaja, tanpa membuang masa, saya terus mendaftar.

“Sangat mudah dan saya kini boleh melihat rekod dan memiliki sijil penderma secara digital. Saya sudah mendaftar, anda bila lagi?,” soal anak jati Kuching ini ketika ditemui penulis di Kuil Gurdwara Sahib Sikh baru-baru ini.

Virenjit turut meyakinkan pendaftarannya selaku pengikrar penderma organ pasti akan memberi sinar baharu kepada insan lain kelak.

Shannon Preet Kaur

Turut senada, Shannon Preet Kaur, 26, yang mengakui keputusan untuk mendaftar sebagai pengikrar adalah tindakan murni seseorang individu.

“Sebagai generasi muda, kita harus memahami konsep pendermaan organ dengan mendalam agar kita boleh memberi pemahaman kepada generasi yang lebih berusia.

“Mungkin ada dalam kalangan generasi berusia dalam keluarga kita tidak memahami dengan baik oleh itu mereka tidak bersetuju,” ujarnya.

Shannon memberitahu dalam pemahamannya pendermaan organ adalah tidak membahayakan sesiapa malahan ia memberi peluang kepada pesakit (penerima) menikmati hidup dengan lebih baik.

“Semua agama di dunia ini tidak melarang justeru itu, sikap dan keperibadian setiap kita adalah lambang keikhlasan kita untuk menjadi penderma. 

“Ayuh anak muda, kita berikrar sebagai penderma organ agar negara khususnya menjadikan Sarawak untuk memiliki penderma dalam kalangan anak muda yang peka dan prihatin terhadap memberi peluang kedua kepada orang lain (pesakit) selepas ini.

“KIta boleh menjadi ‘hero’ selepas ini!,” ucap akauntan muda dari Kuching itu kepada penulis.

 

Derma organ tingkat kualiti hidup

Pendermaan organ merupakan topik yang sangat penting kepada Sarawak yang giat membangun pesat menjadi antara negeri termaju di Malaysia menjelang 2030.

Sektor kesihatan di wilayah ini harus seiring membangun dengan kemajuan yang dikecapi Sarawak yang mengadaptasi ekonomi dan industri hijau sebagai sumber pendapatan baharunya.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mendedahkan sebelum ini rakyat Sarawak tidak memahami kepentingan pendermaan organ.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mendedahkan sebelum ini rakyat Sarawak tidak memahami kepentingan pendermaan organ.

Malahan kata beliau khabar angin berkaitan pasaran gelap pemindahan organ pernah menjadi igauan ngeri.

Namun begitu, tanggapan negatif itu pudar dimamah masa kata beliau sambil menyambut baik inisiatif Hospital Umum Sarawak (SGH) yang membuka Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) pada tahun 2022.

“Mengikrar sebagai penderma organ akan memudahkan keluarga kita selepas kita meninggal dunia nanti.

Menjadi penderma organ, katanya, bermakna seseorang individu itu telah membenarkan organ dan tisunya didermakan untuk membantu orang lain agar terus hidup selepas individu (penderma) itu meninggal dunia.

“Saya selalu menasihatkan keluarga pesakit saya sejak dahulu lagi dengan menanyakan adakah anda mahu menerima organ yang didermakan jika berlaku kegagalan organ di peringkat akhir atau perkara yang tidak diingini terhadap anda?

“Namun begitu anda enggan mendaftar sebagai pengikrar. Maka anda sudi menerima namun tidak mahu menderma setelah meninggal dunia…ia (organ atau tisu) yang masih baik akan membazir sedangkan organ dan tisu anda layak menyelamatkan individu lain,” jelasnya.

Beliau memberitahu pertanyaan sedemikian rata-rata akan merubah persepsi orang ramai dan seterusnya nekad mendaftar sebagai pengikrar penderma darah.

Dr Sim dengan ini optimis kadar penderma organ di Sarawak akan ke arah positif selepas ini dengan keupayaan Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) dalam memecah pandangan, kepercayaan dan amalan budaya yang menghalang segelintir masyarakat di Sarawak untuk bergelar penderma organ.

“Saya pasti anda akan suka melihat organ atau tisu orang yang anda sayangi terus hidup, walaupun mereka yang anda sayangi sudah meninggal dunia.

“Hormati hak dan keputusan pengikrar juga meskipun mereka telah tiada. Keputusan mereka sebagai pengikrar penderma organ harus dilunasi kerana ketika mereka masih bernyawa, ia adalah keputusan paling murni yang ingin mereka lakukan untuk berbakti kepada masyarakat,” tegasnya.

 

Identiti penderma organ dan waris adalah rahsia

Kerisauan waris penderma yang sering timbul adalah mereka khuatir tindakan anak atau keluarga mereka yang mendermakan organ akan menjadi perbualan masyarakat setempat.

Keadaan sedemikian antara budaya setempat yang sedang ditangani oleh Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), kata Dr Uma Devi Ramadass kepada penulis.

Namun selepas diterangkan dengan baik kata Dr Uma, rata-rata keluarga waris (penderma) akan merelakan dan memahami dengan baik.

“Ini kerana di Malaysia semua identiti dan maklumat penderma dan penerima akan dirahsiakan.

“Kami sebagai doktor hanya akan menerima maklumat umur dan jantina penderma sahaja ketika mereka berada di dewan bedah.

“Selain itu terdapat juga permintaan keluarga waris yang meminta agar maklumat serta kisah anak atau saudara mereka menderma organ atau tisu dirahsiakan demi menjaga perasaan keluarga yang lain atau takut akan persepsi orang lain terhadap mereka,” jelasnya.

Dr Uma Devi Ramadass ketika ditemui penulis

Ketua Koordinator Pendermaan Organ Negeri Sarawak merangkap doktor bertanggungjawab ke atas UPOH itu berkata ia akan membuatkan pihaknya memberi sokongan psikologi kepada waris penderma selain meyakinkan mereka bahawa jenazah atau jasad mendiang penderma akan dikembalikan dengan sempurna tanpa sedikit cela.

“Proses pemindahan organ tidak akan nampak, jasad penderma akan seperti tidur sahaja. Bagi penganut agama seperti Kristian yang mahu keranda terbuka (open coffin) pun boleh kerana jasad penderma adalah sempurna meskipun penderma mendermakan seluruh organ atau tisu,” ujarnya lagi.

 

 

Kejayaan UPOH di Sarawak

Usia Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) bertapak di Hospital Umum Sarawak (SGH) kini menginjak dua tahun. 

Namun unit kecil itu memberi impak besar terhadap permikiran dan kefahaman masyarakat wilayah ini berkaitan pendermaan organ.

Paling membanggakan UPOH mendapat perhatian pelancong dari luar negara yang merelakan organ dan tisu insan yang disayangi untuk didermakan di Kuching pada Ogos 2024 lalu.

Selepas sembilan tahun tiada pemindahan atau pendermaan organ berlaku di Sarawak namun UPOH berjaya melakar kejayaan pada tahun ini.

Hantaran emel daripada keluarga Mr. A (bukan nama sebenar) sebagai tanda penghargaan kepada Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) Hospital Umum Sarawak

Kejayaan itu sepi dan tidak ramai mengetahui kata Dr Uma kepada penulis sambil mendedahkan penderma, Mr. A (bukan nama sebenar) merupakan seorang pelancong dari India, (nama dirahsiakan atas permintaan waris dan keluarga penderma).

Mr. A dan keluarga kata Dr Uma sedang melancong menjelajah ke seluruh Malaysia termasuk Sarawak dan Sabah.

“Namun umur Mr. A tidak panjang dan meninggal dunia di Kuching ketika melancong di sini pada Ogos lalu.

“Melihat kondisi si suami, isteri dan keluarga Mr. A yang lain membuat keputusan untuk mendermakan tisu (kornea mata) kepada Hospital Umum Sarawak (SGH) sebelum membawa jenazah penderma kembali ke India,” dedah Dr Uma.

Keputusan waris Mr. A pada ketika itu kata Dr Uma membuktikan kewujudan UPOH di Sarawak semakin relevan.

Malahan kata Dr Uma, keputusan mereka sekeluarga menjadi kisah teladan dalam masyarakat terutama di Sarawak.

“Ramai penderma tampil untuk berikrar selepas itu dan ia sekali gus mengubah persepsi mereka daripda enggan mendaftar sebagai penderma seterusnya mendaftar dengan rela hati,” ujarnya sebelum menutup perbualan dengan penulis.

 

Pendermaan organ beri nafas baharu kepada Sharifah Lailawati 

Sharifah Lailawati Wan Mustapha

Setelah empat tahun bertarung nyawa dan menderita penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD) serta menjalani rawatan dialisis, pendermaan organ memberi sinar baharu kepada Sharifah Lailawati Wan Mustapha.

“Saya melakukan pemindahan organ buah pinggang  pada 22 Februari 2022 di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan pendermanya adalah adik saya sendiri,” katanya ketika ditemui penulis.

Berkongsi kegembiraan, sebagai penerima organ; Sharifah Lailawati menyifatkan pendermaan organ merupakan amalan yang sangat mulia.

“Saya juga amat bersyukur kerana selepas mendapat organ (buah pinggang) yang didermakan oleh adik saya sendiri membuatkan fasa menjalani dialisis berakhir dalam kamus hidup saya.

“Dengan ini saya ingin berterima kasih kepada adik saya, Sharifah Nur Diana Wan Mustapha yang telah sudi mendermakan buah pinggangnya kepada saya.

Menyifatkan pendermaan organ sebagai sinar baharu kepadanya, Sharifah Lailawati berharap lebih banyak pendedahan berkaitan manfaat derma organ dilaksanakan terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kita harus semai kesedaran berkenaan derma organ dalam kalangan generasi muda agar kita dapat memecahkan tradisi halangan budaya dan perasaan takut untuk bergelar penderma organ,” ujarnya.

 

Sharifah Nur Diana Wan Mustapha (kiri) bersama kakaknya, Sharifah Lailawati Wan Mustapha

 

Derma organ demi ingin kakak hidup sihat

Kasih sayang dan empati sebagai adik membuatkan Sharifah Nur Diana, 35, tampil sebagai penderma buah pinggang kepada kakaknya, Sharifah Lailawati pada 2 Februari 2022.

“Sukar untuk saya menggambarkan betapa gembiranya saya selepas melihat kakak kembali sihat dan mempunyai kehidupan yang normal kini

“Saya hanya ingin melihat kakak sihat semula dan dapat menjalani kehidupan dengan baik tanpa perlu menjalani dialisis,” katanya kepada penulis.

Sharifah Nur Diana mengakui dirinya juga tidak pernah terdetik untuk melakukan pemindahan dan pendermaan organ sebelum ini namun keputusan itu dibuat tanpa berfikir panjang.

“Yang paling penting, saya sangat gembira melihat kedua ibu bapa kami tidak lagi susah hati dan bersedih bila mengenang nasib kakak saya sakit dahulu,” ujarnya.

Selepas melakukan pemindahan dan pendermaan organ, Sharifah Nur Diana meyakinkan bahawa inisiatif perubatan itu tidak pernah memudaratkan diri dan kesihatannya.

“Saya harap pelbagai pihak bekerjasama memberi pendedahan agar ramai pihak sedar akan manfaat pemindahan dan pendermaan organ kerana kita boleh menyelamatkan insan tersayang.

“Saya juga telah mendaftar sebagai pengikrar derma organ melalui aplikasi MySejahtera. Kerana saya yakin organ dan tisu saya yang lain berupaya memberi sinar baharu juga kepada orang lain,” jelasnya.

 

Lafaz ikrar derma organ

Penulis sudah melafaz ikrar sebagai penderma organ

Setelah melakukan kajian secara mendalam dan menemui pakar perubatan, ahli agama, menyaksikan semangat belia dan NGO serta kejayaan Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) serta menyaksikan kisah ‘hero’ para penderma dan melihat senyuman penerima organ, penulis melafazkan ikrar sebagai penderma organ tanpa sangsi!

Penulis juga berharap dapatan laporan khas ini dapat merungkai kemusykilan topik pendermaan organ daripada sudut pandang serta perspektif agama.

Ayuh, lafazkan ikrar anda. Anda juga ‘hero’ dalam masyarakat!

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan

No data was found