Derma organ bukan perkara baharu
Diakui ia bukan suatu perkara baharu, pendermaan organ merupakan kaedah rawatan yang semakin diterima ramai di Malaysia.
Amalan mulia ini menyaksikan bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin meningkat tahun ke tahun sejak kad Pengikrar Penderma Organ telah dilancarkan pada tahun 1999 sebagai kad indikasi pendaftaran seseorang individu bergelar sebagai pengikrar penderma organ.
Rekod Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) setakat ini mencatatkan lebih 126, 000 orang pengikrar berdaftar namun bilangan pengikrar yang ingin menderma setelah kematian masih rendah.

Definisi pendermaan organ atau tisu
Pendermaan organ atau tisu merupakan proses menderma sebahagian organ atau tisu daripada tubuh badan seseorang individu lain.
Pakar Bius (Anaesthesiologist) di Jabatan Anestesiologi & Penjagaan Kritikal dan Ketua Unit Hospital Organ Perolehan, Hospital Umum Sarawak (SGH), Dr Lydia Yet, berkata penderma harus disaring daripada penyakit berjangkit (HIV/Hep c /Hep B/ HIV), penyakit autoimun atau kanser sebelum layak mendermakan organ atau tisu.

“Ia melibatkan dua jenis penderma iaitu penderma kadeverik (penderma yang telah meninggal dunia) dan penderma hidup,” ujarnya.
Menurutnya pendermaan kadeversik amat digalakkan dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk di Sarawak.
“Berbanding dengan penderma hidup, ia (penderma kadeverik) nya tidak akan mendatangkan risiko kepada penderma dan penderma kadeverik turut dibahagikan kepada dua jenis iaitu kematian otak dan kematian dengan degupan jantung berhenti.
“Kematian otak membolehkan penderma mendermakan organ dan tisu seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal), mata (kornea), tulang dan kulit.
“Penderma yang mati otak adalah penderma yang disahkan meninggal dunia di hospital dengan satu keadaan apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan dengupan jantung tidak berfungsi,” jelasnya.
Dr Lydia menambah kematian otak boleh berlaku akibat kecederaan otak yang menyebabkan bengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan sebagainya.
“Pesakit yang disahkan mati otak tidak akan mempunyai tindak balas dan tidak bernafas namun dengan dengan bantuan mesin (ventilator) jantung akan berfungsi seketika.
“Seterusnya organ-organ lain akan mengalami kerosakan dan akhirnya degupan jantung akan berhenti dengan sendiri walaupun dengan sokongan mesin,” jelasnya.
Pengesahan kematian pesakit terlibat kata Dr Lydia akan dilakukan oleh dua orang doktor pakar yang bertauliah melalui dua ujian yang berasingan tetapi mereka tiada kaitan dengan tugasan pengambilan atau transplantasi organ.
“Ujian pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diterima pakai di merata dunia.
“Setelah disahkan mati otak, sijil pengesahan akan dikeluarkan dan mesin bantuan pernafasan akan diberhentikan,” jelasnya.
Sekiranya pesakit adalah pengikrar penderma organ ataupun ahli keluarga terdekat bersetuju untuk menderma organ pesakit itu, kata Dr Lydia mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperoleh manakala mesin akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi sekiranya kematian pesakit berkenaan tidak mahu dikaitkan dengan pendermaan organ.
Kematian degupan jantung berhenti
Kematian ini pula merupakan kematian normal iaitu melibatkan seseorang indivitu disahkan meninggal dunia kerana degupan jantung berhenti.
“Penderma yang meninggal dunia secara jantung terhenti boleh mendermakan tisu sahaja seperti mata (kornea), tulang, kulit dan injap jantung.
“Mereka yang meninggal di hospital boleh mendermakan semua jenis tisu manakala mereka meninggal di rumah hanya boleh mendermakan mata (kornea),” ujarnya.
Dr Lydia menambah pihak keluarga pesakit memainkan peranan untuk menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu tersebut di rumah.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan semua individu layak mendaftar sebagai penderma organ di Malaysia kecuali mereka yang menghidap penyakit berjangkit seperti HIV AIDS, Hepatitis B dan C, Siflis.
“Manakala perlu mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu bagi mereka yang berusia kurang dari 18 tahun,” katanya.
Kepentingan pendermaan organ
Pendermaan organ dan tisu bermula di Malaysia dengan pemindahan kornea mata seawal tahun 1960-an, disusuli dengan pemindahan organ pertama iaitu pemindahan buah pinggang pada tahun 1975. Seterusnya pemindahan hati bermula pada tahun 1995, diikuti pemindahan jantung pada tahun 1997 dan pemindahan paru-paru pada tahun 2005.
Namun, setelah lebih tiga dekad berlalu, kadar pendermaan dan pemindahan organ di Malaysia pernah dilaporkan terlalu rendah berbanding negara lain. Sedangkan pesakit yang memerlukan pemindahan organ kian bertambah.
Sehubungan itu, Dr Lydia menegaskan masyarakat perlu dididik agar lebih memahami kepentingan pendermaan organ.
“Kesedaran ini penting kerana apabila ada kesedaran dan tahap penerimaan terhadap penermaan organ akan meningkat lebih tinggi,” ujarnya sambil mengakui realiti ketika ini senarai menunggu bagi pemindahan organ sangat tinggi.
Beliau yang memetik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) setakat Ogos 2024 lalu, seramai 11,389 orang (dewasa) dan 398 orang (kanak-kanak) pesakit masih berada dalam senarai menunggu organ baharu bagi buah pinggang.
“Seramai 15 orang dewasa dan lima kanak-kanak masih menunggu pemindahan hati baharu, dua orang dewasa menunggu pemindahan paru-paru dan lima orang lagi menunggu pemindahan jantung,” dedahnya.

Berhubung tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat di Sarawak, Dr Lydia mengakui meskipun pada kadar yang rendah berikutan pelbagai kekangan termasuk demografi wilayah ini yang merupakan negeri terbesar di Malaysia.
“Kami giat berusaha untuk memupuk kesedaran pendermaan organ dalam kalangan masyarakat di Sarawak termasuk cabaran paling sukar adalah memecah kepercayaan dan budaya tempatan di sini,” jelasnya.
Tanpa mengenal putus asa, Dr Lydia optimis cabaran mendepani pemikiran terhadap kepercayaan dan budaya masyarakat tempatan pasti akan membuahkan hasil sedikit masa lagi.
Turut senada, Ketua Koordinator Pendermaan Organ Negeri Sarawak merangkap doktor bertanggungjawab ke atas Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH) di Hospital Umum Sarawak (SGH), Dr Uma Devi Ramadass berkata inisiatif pendaftaran secara digital iaitu menerusi aplikasi MySejahtera juga mendorong peningkatan jumlah penderma di Sarawak.

“Ramai masyarakat Sarawak melakukan pendaftaran dengan sendiri tanpa menemui kita (wakil UPOH) di mana sahaja mereka berada,” katanya.
Komitmen UPOH tingkatkan kesedaran
Seramai lapan nyawa dapat diselamatkan dengan pendermaan organ yang juga akan meningkatkan kehidupan sehingga 50 orang pesakit melalui pendermaan tisu, tegas Dr Uma.
Menurut data pada tahun lepas, beliau mendedahkan trend positif telah berlaku di Malaysia dengan kadar 1.36 penderma bagi setiap juta penduduk.
Meskipun wilayah ini bergelar sebagai negeri terakhir yang menubuhkan Unit Perolehan Organ Hospital (UPOH), kata Dr Uma kewujudan pejabat UPOH di ruang legar utama SGH sejak tahun 2020 antara pemangkin kepada peningkatan penderma organ di Sarawak.
“Sejak kewujudan UPOH di Sarawak, kita sudah melakar kejayaan pendermaan organ selepas sembilan tahun sejak kali terakhir pemindahan dan pendermaan organ berlaku di wilayah ini.
“Kali terakhir adalah padah tahun 2015 namun kini pada tahun ini (2024) sebanyak dua penderma organ tampil,” jelasnya penerima organ juga meningkat kepada lapan orang setakat tahun 2020 hingga 2024.
UPOH tingkat kesedaran masyarakat Sarawak
Seramai lapan nyawa dapat diselamatkan dengan pendermaan organ yang juga akan meningkatkan kehidupan sehingga 50 orang pesakit melalui pendermaan tisu.
Menurut data pada tahun lepas, trend positif telah berlaku di Malaysia dengan kadar 1.36 penderma bagi setiap juta penduduk.
Meskipun wilayah ini bergelar sebagai negeri terakhir yang menubuhkan UPOH, kata Dr Uma kewujudan UPOH di ruang legar utama SGH sejak tahun 2020 antara pemangkin kepada peningkatan penderma organ di Sarawak.
“Inisiatif pendaftaran secara digital iaitu menerusi aplikasi MySejahtera juga mendorong peningkatan jumlah penderma di Sarawak yang kita tahu demografi wilayah ini sangat besar.
“Jika sebelum ini pendaftaran secara manual dengan menurun tanda tangan pengikrar hanya dilakukan kita secara bersemua dengan mengadakan seminar atau perkongsian ringkas di tempat awam, namun kini kaedah berkenaan telah di ambil alih oleh MySejahtera.
“Ramai masyarakat Sarawak melakukan pendaftaran dengan sendiri tanpa menemui kita (wakil UPOH) di mana sahaja mereka berada,” katanya lagi.
Menariknya di wilayah ini, kata Dr Uma pendermaan organ turut dilakukan oleh individu yang belum pernah mendaftar sebagai pengikrar.
Situasi ini berlaku baru-baru ini melibatkan ibu bapa kepada seorang pesakit yang disahkan meninggal dunia lantas mereka (ibu bapa) membuat keputusan pada saat akhir untuk bersetuju mendermakan organ anak mereka.
“Kami sentiasa menerima apa pun juga keputusan yang dibuat oleh ahli keluarga penderma. Ini kerana kebanyakan isu di Sarawak ini timbul adalah meskipun anak mereka (yang telah meninggal dunia) pernah mendaftar sebagai pengikrar derma organ semasa hayatnya.
“Namun apabila mereka meninggal dunia, ada dalam kalangan waris terdekat (ahli keluarga) enggan bersetuju dan menidakkan ikrar yang pernah dibuat oleh penderma,” jelasnya.
Keadaan ini amat mengecewakan kata Dr Uma namun pihaknya terpaksa akur dan tidak akan memaksa serta menghormati keputusan waris terdekat penderma.
“Sebagai contoh sekiranya ibu dan bapa penderma bersetuju namun seorang daripada tiga adik-beradik penderma tidak bersetuju, maka pihak kami akan menghormati keputusan ‘tidak setuju’ itu,” ujarnya.
Rata-rata waris yang enggan bersetuju menurutnya adalah golongan yang berusia yang masih terikat dengan pemikiran serta kepercayaan dan tuntutan budaya dengan pegangan – apa kata orang di kampung kalau tahu anak mereka yang telah meninggal dunia mendermakan organ atau tisu?
Bersandarkan kepada ‘apa kata orang di kampung’, penulis bakal rungkai adakah pendermaan organ dibenarkan oleh tuntutan agama. Ikuti siri tiga untuk mengetahui pendapat pakar agama berhubung pendermaan organ.