Dimanakah pengikrar derma organ di Sarawak?
Bergelar sebagai sebuah wilayah terbesar di Malasyia, Sarawak merekodkan hanya 0.59 peratus daripada populasi keseluruhan 2.5 juta orang rakyat.
Data terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat 21 September 2024 itu meletakkan Sarawak pada tangga ke-15 daripada 16 senarai negeri (termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan).
Kedudukan senarai terbabit didahului Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 2.11 peratus, Pulau Pinang (1.68 peratus), Johor (1.37 peratus). Selangor (1.36 peratus), Perak (1.16 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (1.07 peratus), Negeri Sembilan (1.06 peratus), Melaka (1.03 peratus), Pahang (1.02 peratus), Perlis dan Terengganu adalah masing-masing 0.99 peratus.

Diikuti Sabah dihadapan Sarawak dengan 0.61 peratus dan Kelantan menakhiri senarai dengan 0.43 peratus.
Pelbagai persoalan serta kemusykilan ditimbulkan dalam kalangan masyarakat Bumi Kenyalang untuk berikrar sebagai penderma organ meskipun ramai menyedari keputusan berkenaan mampu menyelamatkan nyawa orang lain.
Bahkan sebagai penderma organ, ia melayakkan seseorang individu bergelar ‘hero’ dengan meningkatkan kualiti kesihatan pesakit atau penerima yang memberi mereka peluang kedua untuk menikmati hidup dengan lebih baik dan sihat.
Kedudukan Sarawak yang diakui agak jauh ketinggalan namun trend pengikrar organ terkini di wilayah ini menurut Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) mencatatkan lonjakan dalam jumlah ikrar sekali gus menyumbang angka positif.
Digitalisasi ikrar derma organ raih perhatian
Malaysia sebelum ini merupakan antara 10 negara yang merekodkan kadar transplantasi terendah di dunia bagi tahun 2021.
Pada tahun berkenaan menurut Global Observatory on Donation and Transplantation, hanya 2.84 peratus pembedahan transplantasi bagi setiap 1 juta populasi rakyat negara ini direkodkan.

Susulan itu, inisiatif digitalisasi mengambil alih kaedah manual bagi pendaftaran sebagai pengikrar derma organ menerusi aplikasi MySejahtera bermula 6 September 2022 lalu.

Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengumumkan inisiatif digital terbabit menyatakan menerusi aplikasi MySejahtera pendaftaran akan dikemas kini serta merta.
“Apabila mereka buat ikrar melalui MySejahtera maklumat itu terus sampai ke Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC). Sekiranya berlaku kes kematian mana-mana hospital dan layak derma organ, ia akan keluar dalam sistem,” katanya pada Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 pada 4 September 2022.
Berikutan pendaftaran sebagai pengikrar derma organ memasuki era digital di hujung jari, seramai 2,052 pengikrar derma organ di Sarawak lahir pada tahun 2022 berbanding 269 orang pada 2021.
Inisiatif digitalisasi pendaftaran pengikrar derma organ secara aplikasi MySejahtera ternyata membuahkan hasil di Sarawak seiring dasar ekonomi digital yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2017.
Peningkatan jumlah pengikrar derma organ yang ketara itu menyaksikan anjakan memberangsangkan dalam kalangan masyarakat di wilayah ini untuk bergelar penderma organ.
Usaha digitalisasi diperakui sedikit sebanyak memudarkan ‘taboo’ pendermaan organ dalam kalangan kepelbagaian masyarakat Sarawak yang dianggarkan terdiri daripada 101 etnik (27 etnik besar dan 74 sub etnik).
Sejak usaha pendaftaran pengikrar derma organ melalui aplikasi MySejahtera diperkenalkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan data kumpulan umur para pengikrar di Sarawak didahului golongan belia.
Kumpulan umur 20 hingga 29 tahun mencatatkan angka tertinggi iaitu seramai 32 orang setakat 21 Ogos 2024 lalu, diikuti 24 orang (30 hingga 39 tahun), 10 orang (50 hingga 59 tahun) lapan orang (40 hingga 49 tahun), diikuti tujuh pengikrar pada kumpulan umur 10 hingga 19 dan seorang (60 hingga 69 tahun).
Namun begitu, lonjakan jumlah pengikrar derma organ mulai tersasar dengan 1,480 orang pada 2023 dan 738 orang bagi 2024 setakat September ini.

Tahap kecenderungan pendermaan organ di Sarawak
Menyaksikan rekod terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjadi panduan kepada penulis untuk merinci pemboleh ubah yang menyumbang kepada perubahan data pengikrar derma organ di Sarawak sejak 2022 hingga September 2024 ini.
Kaedah pendaftaran manual yang sukar menjangkau demografi masyarakat di Sarawak antara penyebab kekurangan pengikrar derma organ tampil sebelum tahun 2022.
Selain itu, penulis turut membayangkan bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat wilayah ini masih belum memahami nilai keperwiraan diri masing-masing yang nekad melafaz ikrar sebagai penderma organ.
Atau mungkin, kekangan budaya dan kepercayaan yang membantutkan niat kita untuk bergelar penderma organ?
Siri kedua bakal merungkai persoalan selain penulis mendedahkan signifikan pengikrar derma organ seiring Sarawak membina ekonomi digital sebagai salah sebuah negeri maju menjelang 2030.