SIBU, 30 Sept: Bandar Sarikei menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini yang akan berlangsung dari 18 sehingga 20 Oktober depan.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau berkata, seramai 30,000 peserta disasarkan untuk menyertai pelbagai acara pada sambutan tersebut.
“Antara acara utama adalah larian 21Â kilometer (km), kita ada larian 10 km, larian ria tiga km, berjalan ria MADANI dan banyak lagi.
“Lebih kurang dalam 26 acara sukan akan dilaksanakan di Sarikei terutama pada 19 Oktober seperti pertandingan futsal, memanah, senamrobik dan sebagainya.
“Sambutan ini bukan sahaja di Sarikei, kita juga akan melaksanakan pelbagai aktiviti di setiap bahagian di seluruh Sarawak pada tarikh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Residen Bahagian Sibu pada Isnin.
Menurutnya, sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak berbeza dari negeri lain di seluruh Malaysia yang menyambutnya pada 12 Oktober.
“Tapi bagi Sarawak ia akan diadakan pada 19 Oktober (majlis perasmian) bagi menghormati Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-78 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada tarikh tersebut”, ujarnya.
Majlis perasmian akan diadakan di Kompleks Sukan Sarikei dan ia dijangka disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Tambahnya, pada tahun ini Sarawak dicabar oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk menarik 389,000 penyertaan sepanjang sambutan Hari Sukan Negara di seluruh Sarawak.
Menurutnya, penyelarasan gerak kerja dan perbincangan turut dilakukan dalam mesyuarat hari ini untuk mencapai sasaran tersebut.-TVS