KUCHING, 30 Sept: Kerajaan Sarawak mensasarkan untuk membasmi wabak rabies sepenuhnya di wilayah ini menjelang 2030 meskipun sedar tentang cabaran dalam mencapainya.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata pelbagai usaha telah dan akan digerakkan kerajaan bagi mencapai sasaran ini.
“Kita perlu berkongsi dengan negara yang sudah berjaya menghapuskan wabak rabies. Apa yang mereka lakukan, bagaimana mereka melakukannya dan bagaimana kita dapat mencontohi apa yang telah mereka capai,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Rabies In Borneo di sini, hari ini.
Menurut beliau, sejak wabak rabies dilaporkan bermula pada 2017 hingga kini ia membabitkan 74 kes kematian.
Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak menubuhkan Pasukan Immune Belt Enforcement (IBET) untuk memastikan pergerakan anjing dikawal dan mencegah penularan rabies rentas sempadan.
Beliau juga menekankan pentingnya penguatkuasaan undang-undang untuk meningkatkan kesedaran masyarakat agar tidak melanggar peraturan.
Katanya, pihak berkenaan perlu mengagihkan zon-zon tertentu dan menghapuskan kawasan ‘panas’ yang kerap berlakunya kes rabies supaya usaha membasmi lebih berkesan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Datu Dr Adrian Susin Ambud berkata persidangan itu bertajuk ‘Melindungi Haiwan, Menguatkuasakan Undang-undang dan Pembabitan Komuniti’.
Persidangan selama dua hari ini turut mengumpul pakar dari seluruh dunia yang berkongsi pengalaman mereka untuk belajar bersama semua pengalaman ini. – TVS