Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah bersama-sama peserta kursus pada Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Kursus Asas Mediasi Komuniti Bersama Agensi di Kuching pada Isnin

Mediasi penyelesaian pertikaian secara damai

KUCHING, 30 Sept: Seramai 30 peserta yang berperanan sebagai pendamai dalam komuniti menamatkan Kursus Peringkat Asas Mediasi Komuniti Bersama Agensi hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, mediator tersebut akan ditugaskan untuk membantu menyelesaikan konflik dalam komuniti menerusi pendekatan neutral dan holistik.

Menurutnya, mereka berperanan sebagai orang tengah yang membantu pihak yang bertikai mencari penyelesaian secara damai dengan dipersetujui kedua-dua pihak.

“Mediator komuniti merupakan satu alternatif kepada ahli dalam masyarakat untuk membawa permasalahan yang mereka hadapi kepada pihak berkuasa yang dipilih.

“Orang yang mempunyai masalah itu mempunyai pilihan untuk mengajukan permasalahan mereka sama ada kepada temenggong, kaunselor, ketua kaum atau mediator komuniti.

“Ia untuk menyelesaikan masalah tanpa perlu berlarutan sehingga membuat laporan polis atau melalui proses perundangan, saya merasakan ini merupakan alternatif yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Kursus Asas Mediasi Komuniti Bersama Agensi di Wisma Wanita, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, di sini pada Isnin.

Fatimah berkata, antara kelebihan mediasi termasuk menjimatkan kos kerana lazimnya konflik atau isu yang ditangani tidak melibatkan proses litigasi dan perundangan, penjagaan kerahsiaan serta mewujudkan penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua belah pihak.

Antara isu yang sering dirujuk kepada mediator komuniti termasuk kes keselamatan komuniti, alam sekitar, kes rumah tangga serta perkara berkaitan kontrak dan perjanjian.

Kursus Asas Mediasi Komuniti yang berlangsung selama sehari itu merupakan anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak bersama rakan strategik iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Polis Diraja Malaysia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pejabat daerah.

Yang turut hadir, Pengarah JPNIN Sarawak, Diwarna Azool. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan