BUTTERWORTH, 30 Sept: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menahan kontena berisi hampir 3.8 tan aiskrim daripada memasuki negara ini semasa pemeriksaan di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara di sini hari ini.
MAQIS Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, pihaknya mengarahkan kontena berkenaan dikembalikan ke negara asal di Taiwan selepas didapati mengimport produk berasaskan haiwan tanpa permit sah.
“Dagangan aiskrim seberat 3,772.78 kilogram bernilai RM355,874.59 itu ditahan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam negara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya hari ini.
Ujar kenyataan itu, MAQIS mengingatkan kepada pemain industri agar sentiasa merujuk dan mematuhi syarat perdagangan import dan eskport negara bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tegas. – TVS