KUALA LUMPUR, 30 Sept: Seramai 109 mahasiswa Sarawak telah mendaftarkan diri bagi mengikuti sesi akademik 2024/2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kelmarin.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, kumpulan itu merupakan antara 6,718 pelajar baharu universiti berkenaan.
Berdasarkan pecahan beliau memaklumkan seramai 22 pelajar Sarawak akan mengikuti pelbagai program di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian manakala seramai 17 pelajar mendaftar di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.
“Seramai 16 orang bergelar mahasiswa di Fakulti Sains dan Teknologi, 11 (Fakulti Ekonomi dan Pengurusan) dan lapan di Fakulti Pengajian Islam,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Seramai lima pelajar pula di Fakulti Perubatan serta masing – masing tiga di Fakuti Farmasi, Fakulti Pergigian dan Fakulti Undang – Undang.
Sementara itu Mohd Ekhwan memaklumkan universiti berkenaan menerima sebanyak 86,364 permohonan pada tahun ini.
“Daripada keseluruhan pelajar yang mendaftar seramai 1,803 orang adalah dari keluarga B40 iaitu lebih 40 peratus ambilan sesi ini,” katanya. -TVS.