SIBU, 29 Sept: Seorang wanita tempatan berusia 40-an mengalami kerugian sebanyak RM39,463 selepas terpedaya tawaran pekerjaan sambilan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkifli Suhail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Sibu menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 28 September.
Menurutnya, mangsa merupakan seorang kakitangan kerajaan dan melaporkan kejadian itu berlaku pada Ogos lalu selepas melihat iklan pekerjaan sambilan di aplikasi Facebook.
“Berminat dengan tawaran tersebut, mangsa menghubungi individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Zoe’ melalui aplikasi WhatsApp.
“Seterusnya, mangsa diarahkan untuk melakukan beberapa tugas, termasuk menekan pautan dan klik butang ‘like & submit’ dan dijanjikan komisen selepas tugas tersebut selesai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek kemudian menawarkan komisen yang lebih tinggi dengan syarat mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu.
“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat lima transaksi pemindahan wang, dengan jumlah keseluruhan RM39,463 ke dalam lima akaun tempatan yang berbeza,” katanya.
Namun selepas membuat pembayaran, mangsa diarahkan untuk melakukan pemindahan wang tambahan jika mahu mendapatkan komisen yang dijanjikan.
Zuulkipli berkata, mangsa cuba menghubungi suspek tetapi panggilannya disekat.
Akhirnya, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-TVS