LIMBANG, 29 Sept: Sarawak antara negeri yang cekap dalam situasi mengurus segala kemungkinan bencana sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bulan depan.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, seperti negeri lain, APM Sarawak sudah siap-siaga untuk menggerakkan 176 aset dan 2,600 anggota bagi menghadapi MTL.
Katanya, aset itu merangkumi 100 buah kenderaan air dan 76 kenderaan darat untuk digunakan sebaiknya di setiap daerah dan kawasan luar bandar di Sarawak termasuk jika berlaku bencana luar jangka.
“Untuk MTL seperti mana telahpun dimesyuaratkan dan kita telah menyediakan persiapan terutamanya kalau di Sarawak ini kita ada lebih daripada 100 buah kenderaan air dan 76 kenderaan darat untuk kita buat kesiapsiagaan di Sarawak.
“Kita telah menyediakan dan melatih lebih daripada 2,600 anggota termasuk pegawai tetap dan Sarawak antara negeri yang cekap menguruskan situasi MTL,” katanya ketika ditemui media pada lawatan kerja rasmi di Pejabat APM Limbang hari ini.
Turut sama ialah Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Limbang, Kapten (PA) Bonnie Madisun.
Katanya, APM juga akan bermesyuarat mengenai persiapan MTL pada 3 Oktober ini di Kota Tinggi Johor yang diurus setia oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan mesyuarat sama akan diadakan di Sarawak dalam tempoh terdekat ini.
Kata Aminurrahim lagi, Op Ramah turut diteruskan untuk melakukan tinjauan di ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti di seluruh Malaysia bersama agensi teknikal lain termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca terkini terutama semasa peralihan monsun sekarang yang membawa hujan lebat, ribut dan angin kencang pada sebelah petang.
APM dedahnya, juga akan memantau keadan pokok uzur dan bangunan berisiko yang boleh menjejaskan harta benda dan nyawa orang ramai.- TVS.