KOTA SAMARAHAN, 29 Sept: Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang menyuntik semangat pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).
Program Samarahan Prihatin 2024 dilangsungkan di Dewan Sri Samarahan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak di sini, semalam.
Rubiah ketika berucap mengucapkan tahniah kepada pelajar atas keputusan luar biasa yang diraih dalam STPM 2023.
“Kecemerlangan anda bukan sahaja membanggakan, malah mengharumkan nama kawasan Parlimen P197 Kota Samarahan sebagai sebuah kawasan yang melahirkan pelajar berdaya saing dan berpotensi besar,” katanya.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil sokongan padu ibu bapa yang sentiasa menyokong anak mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekali gus membina masa depan lebih gemilang.
“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak meringankan beban mahasiswa dan mahasiswi selain memberi dorongan serta motivasi untuk terus mencapai kecemerlangan nanti,” ujarnya.-TVS