KAPIT, 29 Sept: Peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat melalui Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) akan terus membantu merancakkan lagi pembangunan di kawasan luar bandar dan pedalaman di Kapit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan suntikan kewangan diberikan kepada lembaga itu sekali gus membantu agensi-agensi pembangunan yang telah ditubuhkan di bawah seliaan Kerajaan Sarawak.
“Kita (Sarawak) telah menubuhkan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang memfokuskan pembangunan di kawasan Ulu Rajang, selepas itu Agensi Pembangunan Wilayah Tengah Rajang (Mid Rajang Regional Development Agency) atau MiRRDA dengan menumpukan kepada pembangunan di wilayah tengah Sarawak.
“Selain itu, kita ada Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan semua agensi pembangunan ini akan memberi fokus kepada pembangunan di sekitar Lembah Rajang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Rumah Panjang Bahagian Kapit di Rumah Robert Nanga Sebatu di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, kerjasama yang erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim memudahkan segala perancangan pembangunan yang diperlukan di wilayah ini.
Katanya, sokongan padu yang diberikan rakyat tempatan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga memberi kelebihan kepada kerajaan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di bawah kesemua agensi pembangunan berkenaan.
Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM1.5 bilion kepada setiap agensi pembangunan tersebut yang perlu digunakan sepenuhnya untuk menjalankan projek yang memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat. -TVS