KAPIT, 29 Sept: Projek-projek pembinaan jalan melibatkan Bahagian Kapit akan menjadi keutamaan dan mendapat persetujuan daripada pihak Kerajaan Persekutuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri itu berkata, persetujuan bagi pembinaan jalan tersebut adalah termasuk jalan yang menghubungkan Nanga Semaram ke Kapit yang mempunyai jarak sejauh 72 kilometer (km).
“Jadi, hari ini saya memberitahu kepada Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), pihaknya boleh memulakan persiapan segera pada tahun ini. Jabatan Kerja Raya (JKR) harus mula (segera).
“Tahun depan kita beri peruntukan, bermula dengan fasa satu dan saya percaya selewat-lewatnya akhir tahun hadapan atau pada 2026, jalan tersebut (dapat dibina) mengikut jadual,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Komuniti Masyarakat Kapit, di Dewan Suarah Kapit di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, jelas Anwar, projek-projek pembinaan yang lain di kawasan ini seperti klinik dan sekolah juga perlu diberi perhatian.
“Ada juga beberapa perkara yang diumumkan seperti jalan pintas dari Kompleks Kerajaan Bahagian Kapit ke Jalan Airport, berikut adalah (termasuk) beberapa projek yang diluluskan.
“Oleh itu, pembangunan ekonomi baharu menjadi tonggak dan fokus di Sarawak seperti mengenai penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), yang itu saya percaya kita perlu rangka bagaimana untuk mengatasi kesan sampingannya dan jika perlu, selain daripada peruntukan kerajaan negeri, Insya-Allah, saya juga akan beri perhatian,” katanya. – TVS